LIMA perompak laut warga Indonesia yang ditahan APMM. FOTO Omar Ahmad
LIMA perompak laut warga Indonesia yang ditahan APMM. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad

Kota Tinggi: Lima perompak laut warga Indonesia ditahan pihak berkuasa negara ini ketika cuba merompak bot tunda bersama barge membawa muatan besi buruk di perairan Johor Timur semalam.

Pemangku Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, terdahulu Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Sedili menerima aduan daripada Lembaga Pelabuhan Johor (LP) pada jam 10.45 pagi, bot tunda Bongawan 9 bersama barge Hexagro 8 dinaiki beberapa orang dan cuba mencuri muatan di kedudukan 3.8 batu nautika selatan Tanjung Penyusop, di sini.

Katanya, menyedari kehadiran bot ronda APMM, suspek melarikan diri dengan bot namun berjaya dipintas dan lima suspek warga Indonesia berusia 31 hingga 53 tahun ditahan.

Namun, ketika diiring ke Pos Maritim Pengerang, bot yang tahan itu mengalami kebocoran dan tenggelam pada kedudukan 2 batu nautika tenggara Tanjung Bulat.

"Hasil siasatan, suspek mengambil masa 30 minit hingga satu jam untuk merompak muatan besi buruk dan lari masuk ke perairan negara jiran.

"Walaupun perompak ini mencuri besi buruk, mereka menggunakan sempadan perairan Malaysia/ Indonesia itu sebagai batu loncatan mengelakkan daripada ditahan, tetapi kali ini mereka gagal lolos," katanya pada sidang media di Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili di sini, hari ini.

Menurut Mohd Najib, selain itu kumpulan perompak laut berkenaan juga menggunakan modus operandi yang sama seperti kejadian sebelum ini, iaitu mensasarkan bot atau kapal yang bergerak perlahan.

Katanya, jenayah dilakukan secara berkumpulan tetapi tidak menggunakan senjata.

"Bot kayu yang karam itu dapat memuatkan tiga tan besi buruk. Satu tan besi buruk dijual di negara jiran dengan nilai 5 juta rupiah bersamaan RM1,500.

"Statistik yang direkodkan sejak 2018, sebanyak sembilan kes dilaporkan dan ini adalah kes tangkapan pertama untuk tahun ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen. Semua suspek direman 14 hari bermula hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 12:33 PM