Dr Zaini Hussin
Dr Zaini Hussin
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Ibu bapa dinasihatkan memantau aktiviti anak-anak mereka sepanjang Aidilfitri serta mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian strok haba.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, sepanjang hari raya akan berlaku banyak pergerakan dan aktiviti luar terutamanya membabitkan kanak-kanak.

Katanya, dalam keadaan cuaca yang agak panas, jangan benarkan anak-anak bermain atau berada dalam tempoh terlalu lama di bawah cuaca panas.

"Ibu bapa sudah sedia maklum apakah langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil sebab kita tidak mahu perkara di luar jangka berlaku," katanya ketika ditemui selepas Program Keselamatan Jalan Raya Op Selamat 22/2024 Sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 2024 yang dirasmikan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun di Hadapan Balai Polis Binjai, Kota Bharu, semalam.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata, selain kanak-kanak, mereka yang mempunyai penyakit dan golongan berusia turut berisiko terdedah kepada strok haba dan dinasihatkan supaya berwaspada terhadap tanda-tanda awal bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

"Simpton strok haba bergantung kepada keadaan dan tahap paling teruk ialah suhu badan meningkat, pening atau sakit kepala, mual, serta keletihan yang melampau," katanya.

Beliau berkata, dalam masa sama, pihaknya turut memberi penerangan mengenai bahayanya strok haba melalui media sosial Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) selain memaparkan klip video berkenaan di klinik-klinik kesihatan daerah.

"Setakat ini, pihak kami tidak menerima laporan kes terbaharu strok haba di negeri ini," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang berasal dari Bachok menjadi mangsa kedua strok haba meninggal dunia pada 1 April lalu selepas empat hari menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian.

Terdahulu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan satu kes kematian baharu akibat strok haba dilaporkan berlaku menjadikan kes kematian berkaitan cuaca panas kepada dua orang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2024 @ 8:43 AM