SEORANG pengunjung menunjukkan penyu agar yang ditemui mati di Pantai Chakar Hutan Kerteh, hari ini. FOTO GPI
SEORANG pengunjung menunjukkan penyu agar yang ditemui mati di Pantai Chakar Hutan Kerteh, hari ini. FOTO GPI
Rosli Ilham


Chukai: Tidak sampai 24 jam, seekor lagi penyu agar ditemukan mati di Pantai Chakar Hutan, Kerteh dekat sini, pagi ini.

Pengerusi Geng Plastik Ija (GPI), Zulkefli Sarji berkata bangkai penyu betina itu ditemukan oleh sukarelawan Persatuan Pemuliharaan dan Kajian Marin Malaysia (Pulihara) yang melakukan rondaan di pantai berkenaan kira-kira jam 6.50 pagi.

Menurutnya, terdapat kesan luka di bahagian leher penyu itu yang dipercayai mati mati akibat terjerut dengan pukat nelayan.

"Semalam, bangkai penyu jantan seberat 150 kilogram ditemukan mati terjerut pukat dan hari ini kita yakin seekor lagi mati dengan cara sama.

"Berdasarkan keadaan bangkai yang mula mereput, ia mungkin mati sejak beberapa hari lalu," katanya.

Menurutnya, banyak kejadian kes penyu mati akibat tertelan plastik dan terkena pukat nelayan.

"Kita berharap semua pihak termasuk nelayan tidak menggunakan pukat pari kerana bila penyu terlanggar pukat ini ia akan terjerut dan tidak berjaya melepaskan diri.

"GPI akan terus mengambil inisiatif membersihkan kawasan pantai bagi memudahkan penyu naik bertelur dan setakat ini tiga bulan pertama tahun ini, sebanyak 42 program pembersihan pantai telah dilakukan di negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 4:16 PM