BSN bekerjasama dengan WOW melaksanakan BSN Care Raya 2024: Sewing Seeds of Hope - Inisiatif Pemerkasaan Wanita dan melaksanakan Majlis Penyerahan Sumbangan Baju Raya kepada Komuniti PPR Lembah Subang di Dewan Blok D, PPR Lembah Subang, Petaling Jaya.

Suliati Asri

Petaling Jaya: Bersempena sambutan Aidilfitri yang bakal dirai tidak lama lagi, Bank Simpanan Nasional (BSN) menerusi program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR), BSN Care mengagihkan sumbangan baju raya kepada 200 penduduk PPR Lembah Subang.

Agihan baju raya ini antara inisiatif yang dijalankan hasil kerjasama dengan Women of Will (WOW) untuk memperkasakan BSN Care Raya 2024 :Sewing Seeds of Hope - Inisiatif Pemerkasaan Wanita.

Selain baju raya, BSN secara keseluruhan menyumbang RM50,000 untuk Bengkel Pusat Jahitan Komuniti selain menyediakan sokongan dari segi peralatan jahitan, bengkel latihan kemahiran dan keusahawanan bagi membantu memperkukuh pemerkasaan ekonomi dan pembabitan komuniti mereka.

Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil berkata PPR Lembah Subang yang mempunyai lapan blok dengan jumlah penduduk lebih 16,000 orang adalah satu jumlah yang ramai.

JAY Khairil (tengah) bergambar bersama penerima sumbanganpada Majlis Penyerahan Sumbangan Baju Raya kepada Komuniti PPR Lembah Subang di Dewan Blok D, PPR Lembah Subang, Petaling Jaya. Turut hadir sama Pengarah Eksekutif Woman of Will (WOW), Lakshwin Muruga (berbaju merah jambu tengah).

Oleh itu, katanya, objektif program ini untuk membantu komuniti bukan saja dari sumbangan tetapi lebih kepada bagaimana untuk memastikan masyarakat wanita di sini mempunyai kemampuan berkecimpung dalam perniagaan.

"Menerusi program ini, selain mengagihkan baju raya yang dijahit sendiri oleh 11 tukang jahit Pusat Jahitan Komuniti, kita juga sediakan mesin jahit bagi membolehkan mereka membuat jahitan yang lebih kompleks berbanding menggunakan mesin jahit mereka yang sedia ada.

"Selain itu, kita juga mahu masyarakat wanita terutamanya di PPR Lembah Subang ini dapat berkecimpung dalam perniagaan dan seterusnya dapat membantu komuniti di sini, satu hari nanti," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan baju raya.

Penerima bantuan Wan Nur Afina Abdulah Khir, 29, bersyukur dan berterima kasih dengan sumbangan baju raya itu.

Menurutnya, bantuan itu meringankan bebannya sekeluarga dalam membuat persediaan menyambut Aidilfitri.

"Baju yang dijual di pasaran sekarang sangat mahal dan semua berharga lebih RM100. Jika mahu baju yang cantik sikit, harga lebih kurang RM200 hingga RM300 sepasang.

"Sumbangan ini bukan saja meringankan beban tetapi sangat istimewa kerana di jahit sendiri oleh WOW.

"Terima kasih BSN dan diharap akan ada lagi program lain seperti ini yang akan dianjurkan kerana bantuan seumpama ini sangat memudahkan rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2024 @ 6:58 AM