Sepasang suami isteri maut manakala anak mereka berusia 14 tahun berjaya diselamatkan pasukan bomba dalam kebakaran di Damansara Utama pagi tadi.
Sepasang suami isteri maut manakala anak mereka berusia 14 tahun berjaya diselamatkan pasukan bomba dalam kebakaran di Damansara Utama pagi tadi.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Petaling Jaya: Remaja 14 tahun menjadi yatim piatu serta-merta selepas ibu bapanya maut dalam kebakaran di sebuah rumah di Jalan S21/18, Damansara Utama di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.13 pagi tadi.

"Sebuah jentera dan pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Damansara dikerahkan ke lokasi kejadian bersama 10 anggota.

"Kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat yang terbakar di tingkat atas bahagian bilik tidur utama dan bahagian bawah di dapur," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, namun ibu, Leong Chen Mun, 55, dan bapanya Kang Tsi Yam, 61, maut dalam kejadian itu.

Ahmad Mukhlis berkata, api berjaya dikawal tidak lama kemudian dan kemusnahan dianggarkan kira-kira 70 peratus.

"Punca kebakaran masih dalam siasatan dan pasukan anjing pengesan (K9) sudah dimaklumkan untuk hadir ke lokasi kejadian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2024 @ 9:05 AM