Chow Kon Yeow (dua dari kanan) diiringi John D Chacko (kanan) semasa berjalan-jalan melawat gerai di Kongres Dunia Persatuan Pengiklanan Antarabangsa (IAA) ke-45. FOTO Mikail Ong
Chow Kon Yeow (dua dari kanan) diiringi John D Chacko (kanan) semasa berjalan-jalan melawat gerai di Kongres Dunia Persatuan Pengiklanan Antarabangsa (IAA) ke-45. FOTO Mikail Ong
Siti Aminah Mohd Yusof


Bayan Lepas: Kerajaan Pulau Pinang bersama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan meneruskan perbincangan pematuhan isu-isu teknikal projek membabitkan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), di sini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, perbincangan itu boleh dijalankan serentak dengan usaha ke arah pelaksanaan projek berkenaan yang dijangka tidak mengambil masa lama.

"Pelbagai pengumuman sudah dibuat sebelum ini dan terkini dengan kelulusan Jemaah Menteri kepada MAHB, maka seterusnya MAHB akan melaksanakan tender untuk pelantikan kontraktor bagi memulakan projek dijangka pada tahun ini.

"Mungkin akan mula dalam suku ketiga tahun ini, namun kerajaan negeri dengan MAHB akan meneruskan perbincangan mengenai pematuhan isu-isu teknikal melibatkan projek pembesaran (LTAPP) itu.

"Ia (perbincangan) boleh dijalankan serentak. Kita akan uruskan dan bereskan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kongres Dunia Persatuan Pengiklanan Antarabangsa (IAA) ke-45 di di Pusat Konvensyen Setia SPICE, di sini, hari ini.

Kon Yeow menyambut baik perkembangan terbaharu itu dan optimis pembesaran LTAPP dapat dipercepatkan susulan pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bulan lalu.

"Ini agak cepat selepas beberapa minggu beliau (Anwar) mengumumkan, MAHB melalui Menteri Pengangkutan telah membentangkannya di Kabinet dan Kabinet telah pun meluluskannya.

"Saya fikir, keputusan awal ini menandakan proses tender untuk projek berkenaan akan bermula," katanya.

Pada minggu lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan kelulusan Kabinet untuk projek pembesaran LTAPP dengan anggaran kos RM1 bilion yang akan dibiayai menggunakan Dana Pembangunan Lapangan Terbang (ADF).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 2:39 PM