M Kumar ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
M Kumar ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Memandu kenderaan melebihi had laju yang ditetapkan menjadi kesalahan tertinggi yang direkodkan di Johor sepanjang enam hari Op Selamat 21/2024 sempena Tahun Baharu Cina.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, sebanyak 14,680 saman membabitkan kesalahan itu dikeluarkan, diikuti 4,477 saman kerana mengabaikan isyarat lalu lintas serta 3,122 saman membabitkan lesen memandu.

Menurutnya, jumlah saman yang dikeluarkan sepanjang tempoh Op Selamat 21/2024 itu adalah sebanyak 28,100.

"Secara keseluruhan, pengeluaran saman meningkat dalam operasi kali ini. Jumlah saman yang dikeluarkan meningkat lebih kurang 8,000 berbanding tahun lalu.

"Walaupun jumlah saman meningkat, tetapi dari sudut statistik kemalangan ia menurun.

"Jadi, kita mencapai hasrat kerana tujuan kita untuk mengadakan penguatkuasaan bukanlah untuk keluarkan saman, tetapi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan dan undang-undang lalu lintas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan saman sepanjang O Selamat itu, sebanyak 20,024 notis Pol 170A dikeluarkan tanpa kehadiran pemandu atau pesalah tidak ditahan dan 8,076 lagi notis Pol 257 yang dikeluarkan secara langsung kepada pesalah trafik.

Katanya, jumlah saman itu termasuk dengan 446 saman yang membabitkan pesalah trafik warga Singapura.

Mengulas lanjut mengenai Op Selamat 21/2024, Kumar berkata, kemalangan jalan raya menurun sebanyak 29.13 peratus berbanding tahun lalu dengan catatan sebanyak 1,187 kes.

"Bagi kes kemalangan maut pula, penurunan sebanyak 25 peratus dengan catatan 12 kes berbanding 15 kes pada 2023 dan sebanyak 13 kes kematian dicatatkan dengan penurunan sebanyak 40.91 peratus berbanding tahun lalu," katanya.

Menurutnya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga Daerah Terbaik dalam kalangan semua IPD di Malaysia sempena Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 21/2024.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 1:42 PM