SEBAHAGIAN anak-anak Orang Asli mendapatkan pemeriksaan kesihatan yang disediakan PBOA Pejabat Kesihatan Daerah Gua Musang di sekitar perkampungan Orang Asli di Pos Hau baru-baru ini. FOTO Bernama
SEBAHAGIAN anak-anak Orang Asli mendapatkan pemeriksaan kesihatan yang disediakan PBOA Pejabat Kesihatan Daerah Gua Musang di sekitar perkampungan Orang Asli di Pos Hau baru-baru ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Gua Musang: Masyarakat Orang Asli yang menetap di kawasan pedalaman Pos Hau, amat bergantung kepada klinik bergerak yang ditawarkan oleh Pasukan Bergerak Orang Asli (PBOA) Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Gua Musang.

Bagi pesakit kencing manis Hamidah Anam, 47, dari Kampung Galang di Pos Hau, beliau bersyukur kerana perkhidmatan yang ditawarkan PBOA membolehkan wanita Orang Asli suku Temiar itu melakukan pemeriksaan secara berkala untuk membolehkan tahap gula dalam darahnya sentiasa dipantau dan direkod.

"Sebulan sekali PBOA akan datang ke kampung ini, penduduk di sini pun sudah dimaklumkan mengenai tarikh mereka akan datang jadi mudah buat kami untuk buat sebarang perancangan.

"Selain dapatkan ubat untuk diri sendiri, saya akan pastikan anak lelaki yang menghidap penyakit paru-paru atau asma juga datang apabila klinik bergerak dibuka. Perkhidmatan kesihatan yang diberikan PBOA memang memudahkan kami masyarakat Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman," katanya ketika ditemui Bernama di Pos Hau, di sini baru-baru ini.

Pos Hau yang menempatkan kira-kira 1,300 penduduk di 12 kampung adalah satu daripada empat penempatan Orang Asli di bawah bidang kuasa PBOA PKD Gua Musang.

Untuk ke sana, unit PBOA perlu menggunakan jalan ladang dan balak dengan lokasi paling jauh ialah Kampung Tapai manakala Kampung Ladoi merupakan penempatan paling tinggi terletak kira-kira 829 meter dari aras laut.

Bagi Siojah Along, 30, dari Kampung Gertas, klinik bergerak PBOA memudahkan pemeriksaan terhadap bayi lelakinya Shaquan Ardyan Jibon yang berusia lima bulan.

"Selepas melahirkan anak saya berpantang di unit Rumah Inap Kesihatan Orang Asli (RIKA) Gua Musang. Selepas selesai tempoh berpantang, saya pulang ke Kampung Gertas ini.

"Klinik bergerak yang dilaksanakan PBOA ini memudahkan urusan pemeriksaan rutin bayi seperti memeriksa berat badan, ketinggian, saiz kepala bayi dan lain-lain. Saya tak dapat bayangkan jika perlu berulang-alik ke Klinik Kesihatan Kuala Betis atau bandar Gua Musang," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perubatan PBOA Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Gua Musang, Dr Muhammad Aiman Aziz, 30, berkata secara purata kira-kira 100 hingga 200 penduduk kampung akan datang setiap kali klinik bergerak di buka.

"Selain pemeriksaan kesihatan ibu dan anak, klinik bergerak PBOA turut menawarkan perkhidmatan kesihatan seperti pemeriksaan saringan diabetes, bacaan tekanan darah, pemeriksaan ibu mengandung serta rawatan pesakit luar.

"Sekiranya ada keperluan untuk pesakit dibawa keluar ke bandar Gua Musang, kami akan bawa keluar dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) atau Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) yang akan melakukan penerbangan pemindahan perubatan (Medevac)," katanya.

Doktor nak ubat demam dan vitamin - itu antara dialog yang biasa dilontarkan masyarakat Orang Asli bukan saja orang dewasa malah kanak-kanak setiap kali klinik bergerak PBOA dilaksanakan di pos Orang Asli.

"Mereka dah tahu jadual klinik bergerak yang akan masuk ke kampung sebulan sekali jadi bagi kanak-kanak Orang Asli ibu bapa mereka telah latih supaya datang dan minta stok ubat seperti ubat demam, selesema dan vitamin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2024 @ 3:16 PM