JASMINE Loo.
JASMINE Loo.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Jasmine Loo Ai Swan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, beliau pernah bekerja di UBG Berhad, syarikat milik ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Loo, 50, berkata beliau bekerja di syarikat tersebut dengan gaji bulanan kira-kira RM45,000, termasuk elaun kenderaan, elaun minyak dan elaun perjalanan, bermula 1 Januari 2009 sehingga April 2011.

Wanita itu yang juga saksi pendakwaan ke-50 berkata beliau pertama kali berjumpa dengan Jho Low selaku pengarah UBG Berhad, ketika menghadiri satu temuduga kerja dengan pihak syarikat itu.

"Pada Oktober 2008, saya dapat tahu terdapat satu peluang pekerjaan di UBG Berhad iaitu syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

"Tawaran pekerjaan itu untuk menjaga hal ehwal undang-undang syarikat di bawah kumpulan UBG Berhad. Selepas itu, saya menghadiri satu temuduga dengan pihak UBG Berhad, yang mana saya berjumpa untuk pertama kalinya dengan Jho Low selaku pengarah UBG Berhad.

"Saya berjaya dalam temuduga tersebut dan menerima satu tawaran dari UBG Berhad sebagai pengarah eksekutif undang-undang," katanya ketika membacakan pernyataan saksinya setebal 63 muka surat pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ketika menceritakan tentang penglibatannya dalam syarikat 1MDB, Loo berkata pada awal 2011, Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi telah menghubunginya untuk menawarkan peluang menyertai 1MDB sebagai peguam, tetapi beliau tidak memberi sebarang jawapan pada waktu itu kerana beliau tidak bersedia.

"Selepas itu, Shahrol Azral sering menghubungi saya, dan Jho Low juga memberitahu saya bahawa sekiranya saya menyertai 1MDB, dia (Jho Low) tidak mempunyai sebarang halangan tetapi Jho Low tidak memaksa saya untuk menyertai syarikat itu," katanya dan menambah beliau mula bekerja di 1MDB bermula Mei 2011 sehingga November 2013.

Menceritakan mengenai Shahrol Azral, saksi berkata beliau berjumpa Shahrol Azral buat pertama kali di UBG Berhad, apabila syarikat itu membuat satu projek dengan syarikat Accenture Consulting pada awal tahun 2009.

"Shahrol Azral adalah rakan kongsi yang mengendalikan projek tersebut.

"Selepas beliau meninggalkan Accenture Consulting, beliau sering hadir ke pejabat UBG Berhad untuk bermesyuarat dengan Jho Low, wakil dari Goldman Sachs dan pasukan yang mengasaskan penubuhan syarikat Terengganu Investment Authority Berhad (TIA), yang kemudiannya bertukar nama kepada 1MDB.

"Saya tidak terbabit dalam mesyuarat itu, namun saya tahu kehadiran mereka di pejabat UBG Berhad.

"Bermula dari situ saya mengenali Shahrol Azral dan beberapa ahli pasukan yang mengasaskan TIA," katanya.

Mengenai tugasannya di 1MDB, saksi itu berkata tugasan awalnya ialah meneliti dokumen usaha sama yang sudah dimeterai oleh 1MDB dengan Petrosaudi International Limited (PSI).

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2024 @ 8:44 PM