PENGASAS Madrasah Addinniah Azzakiah (MAA), Zaki Masur, 48, bergambar bersama pelajar. FOTO Nazdy Harun
PENGASAS Madrasah Addinniah Azzakiah (MAA), Zaki Masur, 48, bergambar bersama pelajar. FOTO Nazdy Harun
Nazdy Harun


Kuala Berang: Madrasah Addinniah Azzakiah (MAA) yang berkonsepkan sebuah pondok bakal membuka lembaran baru apabila bakal melakukan pengambilan pelajar perempuan pada pertengahan tahun ini.

Pengasasnya, Zaki Masur, 48, berkata, buat masa ini pondok itu mempunyai 45 pelajar lelaki dan tiga keluarga.

Menurutnya, pengajian dilakukan secara bertalaqqi (berdepan) kitab, manakala yuran pengajian yang dikenakan hanya RM10 sebulan atau bersamaan RM100 setahun selepas ditolak cuti sempena Ramadan dan Syawal.

Katanya, pihak pengurusan sentiasa mencari sumber dana yang lain bagi menampung kos pentadbiran dan pengurusan.

"Dana yang diperoleh adalah iaitu melalui program wakaf, hasil pertanian dan ternakan, sumbangan orang ramai dan penganjuran program-program yang mendatang manfaat buat madrasah.

"Kini kami memerlukan dana bagi tujuan pembangunan masa depan antaranya cadangan pembinaan pondok pelajar perempuan dan lelaki, surau, tandas dan dewan makan khas bagi pelajar perempuan.

"Kita sudah memiliki tanah untuk tujuan itu namun peruntukan yang membataskan untuk kita melakukan pembinaan pondok secara menyeluruh," katanya.

Zaki berkata, MAA atau dikenali juga sebagai Pondok Lubuk Periok yang dibuka secara rasmi sejak 10 tahun lalu di atas tanah diwakaf sendiri oleh arwah ayahnya.

Menurutnya, yang lebih mesra dipanggil 'Tok Guru' berkata, dia menuntut ilmu agama bermula di Madrasah Addiniah Al Latiffiah atau lebih dikenali sebagai Pondok Pak Teh, Kroh, Perak.

"Saya bertalaqqi lebih daripada 37 kitab dengan Tuan Guru Datuk Abdul Latif B Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Pak Teh.

"Saya menuntut ilmu lebih daripada 20 tahun di pondok Pak Teh sehingga menjadi seorang ketua umum pondok sebelum kembali ke tempat kelahiran di Kg Lubuk Periok, Ajil, lalu membuka pondok di sini.

"Sistem penggajian pondok yang diasaskan ini adalah sistem pondok tradisional di mana pembelajaran kitab 'kulit ke kulit' dengan lebih daripada 20 kitab dibaca dalam sehari dan hampir 90 peratus adalah kitab berbahasa Arab," katanya.

Menurutnya, tempat tinggal pelajar (pondok) dibina secara berasingan bagi setiap pelajar yang mengikuti penggajian dengan tiada penggunaan elektrik, hanya cahaya lilin digunakan bagi menerap nilai tradisi asal penggajian pondok.

Katanya, dengan mempunyai perancangan masa depan untuk meluaskan lagi penggajian dengan misi membawa masuk lebih ramai pelajar (lelaki dan perempuan) serta yang sudah berkeluarga untuk mengikuti penggajian di sini, diharap dengan usaha ini mendapat rahmat dan kemuliaan daripada Allah SWT.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank, 563037062057, CIMB (8603126019) dan Bank Islam (13062010034768) di atas nama Madrasah Addinniah Azzakiah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2024 @ 1:53 PM