Penduduk Kampung Sonsogon Magandai berhenti rehat seketika sebelum meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki ke pekan Kota Marudu. FOTO Johary Indan
Penduduk Kampung Sonsogon Magandai berhenti rehat seketika sebelum meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki ke pekan Kota Marudu. FOTO Johary Indan
Johary Indan


Kota Marudu: Hampir sebulan tidak keluar pekan, penduduk Kampung Sonsogon Magandai, kira-kira 70 kilometer dari sini kembali mengharungi perjalanan cukup jauh dan melelahkan dengan berjalan selama dua hari.

Namun perjalanan mereka kali ini berbeza berbanding sebelum ini apabila keadaan jalan dari perkampungan itu sedikit kering selepas tidak hujan di kawasan berkenaan hampir seminggu.

Berbekalkan semangat serta kekuatan mental, penduduk yang kebanyakan wanita dan kanak-kanak berjalan untuk sampai ke destinasi dituju iaitu pekan Kota Marudu.

Dengan membawa bekalan makanan sebagai pengalas perut sepanjang perjalanan, rombongan penduduk Sonsogon Magandai itu memulakan perjalanan mereka jam 6 pagi untuk memastikan mereka sampai sebelum lewat petang.

Mereka hanya berhenti rehat seketika dan makan bekalan yang dibawa untuk menambah tenaga.

Wakil penduduk Kampung Magandai, Suanie Din, 37, berkata, mereka memulakan perjalanan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Magandai dengan menumpang kenderaan pacuan empat roda seorang penduduk.

"Bagaimanapun, ketika kenderaan pacuan empat roda yang kami tumpang cuba melepasi laluan sukar dengan keadaan jalan rosak berhampiran Kampung Sonsogon Suyad, kenderaan terbabit rosak.

"Kejadian itu menyebabkan kami tidak dapat meneruskan perjalanan dan terpaksa menumpang tidur di rumah saudara di perkampungan berhampiran memandangkan hari sudah gelap," katanya.

Menurutnya, jika perjalanan diteruskan dalam gelap mendedahkan mereka kepada bahaya ancaman serangan haiwan buas.

Katanya, penduduk keluar pekan kerana masing-masing mempunyai keperluan penting terutama ingin mengurus persekolahan anak, selain membawa mereka pulang kampung sempena musim cuti persekolahan.

Suanie berkata, perjalanan mereka hanya dapat diteruskan keesokan hari dengan berjalan untuk menghabiskan baki perjalanan lebih 50 kilometer.

"Kami bersama-sama anak sepakat meneruskan perjalanan dengan berjalan menuju pekan, walaupun sedar mereka akan kelelahan menempuh perjalanan jauh itu.

"Syukur mereka tetap berjuang sehingga kami semua berjaya menamatkan perjalanan jauh dengan hanya berjalan kaki," katanya.

Dia berkata, mengikut perancangan awal penduduk, mereka akan sampai pekan Kota Marudu dalam tempoh enam hingga lapan jam menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

"Namun perancangan itu berubah apabila kenderaan yang kami tumpang rosak sebelum separuh perjalanan, menyebabkan perjalanan menjadi cukup panjang iaitu dua hari," katanya.

Sehubungan itu, menurutnya, pengalaman berharga itu sukar dilupakan penduduk Sonsogon Magandai, walaupun kemudahan jalan di perkampungan itu kelak dinaiktaraf.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2024 @ 11:30 AM