GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
Ercy Gracella Ajos


Kuala Lumpur: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang diramal melanda enam negeri sehingga 7 malam ini.

Selain Sabah dan Sarawak, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam hantaran memaklumkan cuaca itu diramal di Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Di Perak katanya, cuaca itu diramal di kawasan Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim manakala Pahang membabitkan satu daerah iaitu Tanah Tinggi Cameron.

"Di Selangor pula, cuaca itu diramal di kawasan Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat manakala Negeri Sembilan membabitkan daerah Seremban dan Rembau.

"Ramalan sama dikeluarkan bagi Sarawak membabitkan kawasan Serian, Samarahan (Simunjan), Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah (Tanjung Manis, Daro dan Matu), Kapit (Song), Bintulu (Tatau) dan Miri (Subis, Beluru dan Marudi).

"Di Sabah, cuaca itu diramal di kawasan Pedalaman (Sipitang, Tenom, Beaufort dan Tambunan), Pantai Barat (Papar, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran, Ranau dan Kota Belud) dan Tawau (Tawau, Kunak dan Lahad Datu)," katanya menurut hantaran itu.

Katanya, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter (mm) per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

"Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 5:23 PM