ANJING dari Unit Pengesan (K9) JBPM baka Springer Spaniel yang dinamakan Grouse dibawa menaiki bot untuk membantu SAR mangsa terjun jambatan di Kampung Tendong, Pasir Mas. FOTO Ihsan JBPM
ANJING dari Unit Pengesan (K9) JBPM baka Springer Spaniel yang dinamakan Grouse dibawa menaiki bot untuk membantu SAR mangsa terjun jambatan di Kampung Tendong, Pasir Mas. FOTO Ihsan JBPM
Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Memasuki hari kesembilan kejadian peniaga kosmetik jatuh dari Jambatan Tendong, Pasir Mas di sini, tiada sebarang petunjuk diperolehi sekali gus menyaksikan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan semalam.

Abang mangsa, Sukardi Ismail, 47, berkata meskipun operasi mencari pihak berkuasa ditamatkan, mereka sekeluarga dengan bantuan kenalan serta keluarga tetap turun ke sungai mencari jasad Norhisyam Ismail, 43.

"Saya ada memohon tambahan hari untuk SAR tapi dimaklumkan ia sudah mencukupi memandangkan tiada sebarang petunjuk ditemukan.

"Bagaimanapun kami tetap terus mencari adik dengan bantuan bot milik pemancing yang turut disertai rakan serta sanak saudara tanpa mengira siang atau malam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sukardi yang juga seorang tentera dan menetap di Kedah berkata, dia akan kembali ke tempat bertugas esok kerana sudah berada di Kelantan sejak hari lebih seminggu.

Bagaimanapun dia akan pulang semula ke sini dalam masa beberapa hari lagi bagi menyelesaikan perkara berkaitan kehilangan adiknya termasuk urusan keluarga yang lain.

Menurutnya lagi, selain pencarian dengan bot di sungai, solat hajat juga dibuat setiap masa malah malam kelmarin ia diadakan di bawah Jambatan Tendong yang dihadiri lebih 50 jemaah.

"Malam kelmarin solat hajat dilakukan tiga kali memandangkan ramai jemaah yang hadir dan lokasi juga agak terhad.

"Selain itu, kami ada juga merujuk ustaz atau orang yang berpengalaman bertanyakan mengenai kehilangan adik dan mereka mengatakan Norhisyam masih ada di dasar sungai dan belum hanyut ke laut.

"Bagaimanapun kami tidak terlalu menaruh harapan yang tinggi malah ahli keluarga juga sudah reda dengan takdir namun tidak menafikan bahawa masih mengharapkan ada keajaiban," katanya.

Dalam kejadian jam 6.48 petang pada 15 Januari lalu, Norhisyam terjun ke Sungai Kelantan dari Jambatan Tendong selepas memarkir kenderaannya.

Operasi mencari dan menyelamat turut membabitkan dua anjing daripada Unit Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 4:17 PM