LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Cemburu dipercayai menjadi motif seorang wanita ditikam beberapa kali sehingga maut di Taman Chi Liung, Klang, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi berkata siasatan awal mendapati suspek berusia 44 tahun dan mangsa adalah pasangan kekasih.

"Difahamkan berlaku pergaduhan selepas mereka makan tengah hari di sebuah restoran sebelum suspek bertindak menikam wanita berkenaan berdekatan keretanya.

"Setakat ini, kita sudah merakam percakapan daripada dua saksi kejadian dan siasatan lanjut masih dilakukan ketika ini," katanya pada sidang media di MES Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan, suspek iaitu lelaki tempatan ditangkap sepasukan polis dari Cawangan D9, IPD Klang Selatan jam 4.20 petang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong dilapor berkata siasatan mendapati pada jam 1.20 petang, kelmarin, mangsa yang berusia 26 tahun tahun berjumpa suspek di sebuah restoran dan ditikam berdekatan kereta selepas mereka selesai makan tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 4:21 PM