FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Terengganu berkemungkinan menghadapi hujan lebat berserta angin kencang yang dijangka melanda negeri ini sekali gus berlaku banjir gelombang ketiga.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, pihaknya menjangkakan jika ramalan itu berlaku, ia susulan daripada kejadian ribut tropika Jelawat yang melanda di tenggara Filipina.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) yang menjangkakan hujan lebat dan gelombang ketiga diramal berlaku di negeri ini bermula pada 22 hingga 26 Disember ini.

"Banjir gelombang kedua yang melanda negeri ini baharu saja pulih apabila semua pusat pemindahan sementara (PPS) di tutup sepenuhnya pada 2 petang, semalam dan kita menjangkakan hujan lebat serta angin kencang kemungkinan dijangka berlaku mulai Jumaat ini.

"Sekiranya terdapat kesan daripada ribut tropika Jelawat, kita mungkin akan menghadapi hujan yang berat (lebat) dan kemuncaknya pada 24 dan 25 Disember ini.

"Ini baru ramalan yang dikeluarkan MetMalaysia, namun dalam masa sama kita sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi Monsun Timur Laut," katanya pada majlis penyampaian bantuan banjir Yayasan Petronas di sebuah hotel di sini, semalam.

Sumbangan barangan keperluan yang diperuntukkan kepada 1,500 keluarga terjejas banjir di Terengganu itu disampaikan Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli kepada Tengku Farok Hussin

Mengulas lanjut, Tengku Farok Hussin berkata, pihaknya dimaklumkan hujan lebat akan melanda seluruh negeri ini membabitkan kawasan pesisir pantai.

Menurutnya, pihaknya menasihatkan penduduk terutama yang tinggal di kawasan pesisir pantai supaya lebih berhati-hati dan sentiasa berwaspada.

"Malah, kita juga memberi arahan kepada semua pengerusi bencana daerah supaya memberi tumpuan di kawasan masing-masing terutama kawasan hotspot," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 7:45 AM