KIT Siang hadir di Balai Polis Sea Park, semalam. FOTO Asyraf Hamzah
KIT Siang hadir di Balai Polis Sea Park, semalam. FOTO Asyraf Hamzah
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kenyataan dibuat veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang yang menyentuh kemungkinan orang bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri boleh menimbulkan keresahan kepada orang Melayu.

Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, walaupun dari segi Perlembagaan orang bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri, tetapi ia tidak sesuai untuk dibangkitkan.

"Perkara-perkara seperti ini patut dielakkan kerana di Malaysia ini isu kaum dan agama masih kuat mempengaruhi rakyat. Dan Kit Siang sebagai pemimpin senior, yang lama dalam politik dia sepatutnya lebih arif.

"Cuma saya lihat apakah faedah daripada kenyataan beliau itu? Ia akan mengukuhkan sokongan orang bukan Melayu terhadap DAP.

"Adakah tujuan beliau membangkitkan isu itu adalah untuk mengekalkan sokongan orang Cina kepada DAP?," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Semalam, Kit Siang hadir ke Balai Polis Sea Park, Petaling Jaya untuk dirakam percakapan berhubung kenyataannya berkaitan kemungkinan orang bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, kenyataan dibuat oleh Kit Siang juga boleh menimbulkan salah faham dalam Kerajaan Perpaduan dan memberi 'peluru' kepada pembangkang untuk menyerang kerajaan.

"Kit Siang sepatutnya bantu (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim (dan) Kerajaan Perpaduan ini. Kalau dia bangkitkan (isu) ini, memberi peluru kepada pembangkang untuk menyerang kerajaan," katanya.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Rusdi Omar turut sependapat dengan Mazlan, setiap ahli politik sewajarnya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan terutama mereka yang sudah lama berkecimpung dalam bidang ini.

"Dari segi pandangan beliau itu betul, Perdana Menteri ini boleh dipilih daripada bangsa mana pun. Dalam Perlembagaan tidak termaktub pun mengatakan hanya orang Melayu menjadi Perdana Menteri.

"Tetapi secara realitinya dalam politik kita, yang majoriti adalah Melayu.

"Sepatutnya ahli-ahli politik yang veteran macam beliau itu tidak perlulah tekankan benda itu sebab tidak akan menjadi kenyataan dalam keadaan politik hari ini dengan (bilangan) kerusi masih majoriti Melayu lebih ramai berbanding dengan bangsa lain," katanya.

Menurutnya, pemimpin politik sewajarnya berbincang mengenai perkara yang memberi lebih banyak manfaat kepada negara dan rakyat berbanding siapa yang menjadi Perdana Menteri.

"Kita bukan hanya nak pemimpin DAP sahaja, tetapi pemimpin Melayu-Islam ini. Sepatutnya yang melibatkan isu bangsa ini cuba diminimumkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2023 @ 4:49 PM