GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suhanna Iskandar


Cheras: Pemandu e-hailing runsing apabila terpaksa menanggung hutang ceti haram mencecah RM18,000 gara-gara tabiat berjudi isterinya.

Lelaki itu yang hanya ingin dikenali sebagai, Choong, 39, berkata, isterinya yang bekerja sebagai juruwang di kedai serbaneka di Johor mula ketagihan bermain judi selepas mencuba permainan itu di sebuah kasino.

Menurutnya, dia terpaksa hidup dalam ketakutan selepas beberapa ceti haram mencarinya bagi menuntut hutang yang dipinjam oleh isteri yang berusia 37 tahun itu.

"Tanpa pengetahuan saya, dia meminjam daripada along yang berbeza sehingga saya merasa tertekan kerana desakan menuntut pembayaran hutang.

"Buat masa ini, saya sudah membayar RM18,000 kepada mereka tapi masih tidak tahu berapa lagi yang perlu dibayar.

"Saya mengambil langkah ekstrim dengan menjual tapak pasar malam di Perak dan meminjam wang daripada sumber lain untuk membayar balik sebahagian hutang," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan DAP, Cheras, di sini, hari ini.

Katanya, setiap kali meminta penjelasan, isterinya akan memberi pelbagai alasan yang tidak masuk akal membuatkannya buntu dan meminta bantuan pihak DAP.

Choong berkata, tidak dapat dipastikan berapa nilai sebenar yang dipinjam atau jumlah along yang sudah memberikan pinjaman kepada isterinya itu.

"Saya tidak mampu lagi untuk membayar hutang dan membuat keputusan tidak pulang ke rumah lagi dengan harapan isteri akan sedar," katanya.

Menurutnya, dia kini sudah tidak mampu membayar ansuran bulanan kereta berikutan terpaksa membayar hutang.

"Saya tidak dapat membuat laporan polis disebabkan tiada bukti along ini mengganggu keluarga atau kediaman (secara fizikal).

"Bagaimanapun gambar isteri saya disebar di sosial media oleh along kerana tidak membayar hutang dan ini menyukarkan saya kerana keluarga terdekat sudah tahu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 3:42 PM