Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pendapatan isi rumah penengah di negara ini meningkat kepada RM6,338 pada 2022 berbanding RM5,873 pada 2019 dengan kadar pertumbuhan 2.5 peratus setahun.

Manakala pendapatan isi rumah purata pula meningkat 2.4 peratus setahun daripada RM7,901 pada 2019 kepada RM8,479 pada 2022.

Statistik ini dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah Malaysia 2022 yang dibentangkan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin pada 28 Julai lalu.

Laporan itu menyatakan, pendapatan isi rumah bergantung kepada bilangan penerima pendapatan bagi sesebuah isi rumah. Purata penerima pendapatan isi rumah pada 2022 kekal 1.8 orang seperti direkodkan pada tahun sebelumnya.

Manakala pendapatan isi rumah boleh guna penengah bulanan pula ialah RM5,413, meningkat 1.9 peratus daripada RM5,116 (2019).

Pendapatan isi rumah boleh guna purata bulanan pula ialah RM7,111, meningkat 1.7 peratus berbanding 2019 (RM6,764). Dari segi ukuran purata, pendapatan isi rumah boleh guna ini adalah merangkumi 83.9 peratus daripada jumlah pendapatan isi rumah kasar.

Laporan sama turut menyebut, corak perbelanjaan isi rumah dan gaya hidup selepas dua tahun negara dilanda pandemik Covid-19.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin

Menurutnya, pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) antara sumber penerimaan kepada isi rumah untuk berbelanja dan seterusnya menjadi faktor kepada peningkatan purata perbelanjaan melebihi peningkatan pendapatan purata isi rumah (2.4 peratus) tahun lalu.

"Bagi purata perbelanjaan, isi rumah dalam negara berbelanja RM5,150 sebulan pada 2022 iaitu meningkat 3.7 peratus daripada RM4,609 pada 2019.

"Selain daripada itu, berdasarkan peruntukan perbelanjaan yang dibuat oleh isi rumah, komposisi corak perbelanjaan (66.9 peratus) masih bertumpu kepada empat kumpulan perbelanjaan utama iaitu kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (23.2 peratus), kumpulan makanan dan minuman (16.3 peratus); kumpulan restoran dan perkhidmatan penginapan (16.1 peratus); dan kumpulan pengangkutan (11.3 peratus)," katanya.

Dalam masa sama, perbelanjaan ke atas kumpulan restoran dan perkhidmatan penginapan meningkat 2.4 mata peratus kepada 16.1 peratus (2019: 13.7 peratus). Keadaan ini selari dengan peningkatan perbelanjaan makan dan minuman di luar rumah kepada 15.3 peratus (2019: 13.1 peratus) dan penurunan makan dan minuman di rumah kepada 16.3 peratus (2019: 16.9 peratus).

Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2022 (HIES) yang dijalankan juga turut mengenal pasti kadar kemiskinan rakyat terutama selepas pandemik Covid-19.

"Nilai purata Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi 2022 adalah RM2,589 (2019: RM2,208) dengan nilai PGK makanan sebanyak RM1,198 (2019: RM1,169). Insiden kemiskinan mutlak pada 2022 pula menunjukkan peningkatan kepada 6.2 peratus berbanding 5.6 peratus pada 2019.

"Berdasarkan kajian anggaran kemiskinan yang dijalankan DOSM, insiden kemiskinan Malaysia pada 2020 adalah 8.4 peratus. Insiden kemiskinan mutlak ini pada 2022 membabitkan anggaran 487,600 isi rumah.

"Insiden kemiskinan di bandar turut meningkat daripada 3.8 peratus pada 2019 kepada 4.5 peratus pada 2022, manakala bagi kawasan di luar bandar pula mencatatkan penurunan daripada 12.4 peratus kepada 12.0 peratus," katanya.

Berdasarkan penemuan HIES 2022 menunjukkan bahawa negara berada pada landasan yang betul ke arah mencapai matlamat menjadi sebuah negara yang berpendapatan tinggi.

Pencapaian ini adalah hasil daripada keberkesanan usaha kerajaan dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang stabil dan berterusan serta pelaksanaan program dan inisiatif pembangunan sosioekonomi yang berterusan dalam memastikan hasil pembangunan dapat dinikmati semua rakyat.

"Petunjuk ke arah ini juga digambarkan oleh penurunan Pekali Gini sebanyak 0.003 mata indeks daripada 0.407 (2019) kepada 0.404 (2022). Ini bermakna jurang ketidaksamarataan pendapatan semakin mengecil sebanyak 0.3 peratus pada 2022 berbanding 2019.

"Jurang pendapatan di kawasan bandar mencatatkan penurunan kepada 0.393 (2019: 0.398). Jurang pendapatan di kawasan luar bandar penurunan turut mencatatkan penurunan kepada 0.351 (2019: 0.367)," katanya.

Pada masa sama, Pekali Gini bagi etnik Bumiputera menurun daripada 0.389 kepada 0.387 manakala bagi etnik Cina menurun daripada 0.417 kepada 0.412. Pekali Gini bagi etnik India mencatatkan penurunan daripada 0.411 kepada 0.406.

Dari sudut pengukuran ketidaksamarataan yang lain seperti Indeks Theil dan Indeks Atkinson pula, Indeks Theil bagi pendapatan kasar etnik India lebih tinggi iaitu 0.332 berbanding Bumiputera dan Cina (0.275 dan 0.310) pada 2022, manakala nilai indeks Atkinson bagi pendapatan kasar pada 2022 lebih kecil iaitu 0.134 berbanding 0.135 (2019).

Perkara ini disebabkan Indeks Atkinson memberikan ukuran yang lebih sensitif terhadap perubahan dalam ketidaksamarataan pendapatan atau kekayaan berbanding dengan pekali Gini dan indeks Theil.

Sementara itu, laporan ini juga memperincikan mengenai kedudukan struktur had dan agihan pendapatan mengikut kumpulan isi rumah pada 2022.

Hasil dapatan daripada survei 2022, had pendapatan bagi kumpulan terendah 40 peratus (B40) pada 2022 yang merangkumi 3.16 juta isi rumah adalah RM5,249.

"Kumpulan isi rumah boleh dibuat mengikut kelas pendapatan dari sekecil-kecil kelas pendapatan, contohnya satu peratus hingga paling besar (100 peratus) kelas kumpulan isi rumah. Bagaimanapun, kebiasaan kita lebih memahami kumpulan isi rumah B40, M40 dan T20 kerana kumpulan ini digunakan dalam pelbagai dasar kerajaan sejak RMke-10.

"Had pendapatan kumpulan pertengahan 40 peratus (M40) yang membabitkan 3.16 juta isi rumah pula adalah di antara RM5,250 hingga RM11,819. Sementara itu, sebanyak 1.58 juta isi rumah berada di kumpulan tertinggi 20 peratus (T20) dengan pendapatan melebihi RM11,819.

"Dari segi agihan pendapatan, T20 memiliki 46.3 peratus daripada jumlah pendapatan isi rumah berbanding 46.8 peratus pada 2019. 37.6 peratus dimiliki oleh kumpulan M40 dan selebihnya 16.1 peratus daripada jumlah pendapatan adalah untuk kumpulan B40," katanya.

DOSM akan menjalankan Banci Pertanian pada 2024. Untuk maklumat lanjut boleh layari laman web https:// www.myagricensus.gov.my/ Tema adalah Banci Pertanian, Kunci Kemajuan Pertanian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 6:50 AM