LAPORAN terdahulu.
LAPORAN terdahulu.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis menunggu keputusan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian operator kren menara di tapak pembinaan dekat Persiaran KLCC di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya menerima laporan kematian lelaki berusia 27 tahun itu yang ditemukan dalam kabin kren pada 5.54 petang.

"Pengadu yang juga rakan sekerja mangsa mendapati lelaki itu tidak sedarkan diri di dalam kabin kren menara.

"Ketika kejadian, dia sedang mengendalikan jentera itu pada ketinggian 20 meter di tapak pembinaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Dellhan berkata, mangsa dilapor mula memasuki kabin kren untuk bekerja selepas taklimat pada 8.15 pagi dan penyelia keselamatan tapak binaan mendapati kren berkenaan berhenti serta bergegar pada 4.42 petang.

"Penyelia itu cuba menghubungi mangsa melalui 'walkie talkie', namun tiada maklum balas dan dia kemudian menaiki kren itu sebelum mendapati mangsa tidak sedarkan diri pada 4.58 petang," katanya.

Menurutnya, anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak dan seorang pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) naik ke kren selepas dimaklum kejadian dan mangsa disahkan meninggal dunia pada 6,31 petang.

"Difahamkan mangsa bekerja sebagai operator kren menara di tapak pembinaan itu sejak 25 September lalu," katanya yang memberitahu mayat mangsa dibedah siasat di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) HKL.

Menurutnya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 4:35 PM