ANGGOTA penguat kuasa memusnahkan tanaman pisang dan limau berdekatan Kolam Tadahan Bukit Merah. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
ANGGOTA penguat kuasa memusnahkan tanaman pisang dan limau berdekatan Kolam Tadahan Bukit Merah. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: Tanaman limau dan pisang di kawasan seluas 4.45 hektar, termasuk bangunan yang didirikan secara haram berdekatan Kolam Tadahan Bukit Merah, dimusnahkan pihak berkuasa hari ini.

Pegawai Daerah Kerian Mohd Sabli Bakri berkata, pencerobohan berskala besar di kawasan itu dilakukan pihak yang tidak diketahui sejak beberapa bulan lalu sebelum disedari penduduk.

"Dianggarkan tanah yang telah diceroboh adalah sekitar 38 ekar (15 hektar) dan 11 ekar (4.45 hektar) daripadanya dijadikan tanaman pisang dan limau.

"Aktiviti pertanian ini boleh menyebabkan baja kimia untuk kegunaan pertanian meresap ke dalam air sekali gus mendatangkan risiko pencemaran yang akan menjejaskan bekalan air bersih kepada rakyat di sekitarnya," katanya dihubungi hari ini.

Katanya, kawasan itu kini dalam proses pewartaan dan ia diselenggara Jabatan Pengairan dan Saliran Kerian.

"Notis berhubung pencerobohan tanah kerajaan ini dibuat mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2023 @ 6:26 PM