SAIFUDDIN Nasutioan (tiga kiri) beramah mesra dengan anggota PGA  selepas Majlis Penyerahan Pos Barisan Hadapan Briged Tenggara Pos Nibong, Tumpat.  FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SAIFUDDIN Nasutioan (tiga kiri) beramah mesra dengan anggota PGA selepas Majlis Penyerahan Pos Barisan Hadapan Briged Tenggara Pos Nibong, Tumpat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Fazlina Abdul Rahim


Tumpat: Sebanyak 10 daripada 141 pintu masuk negara akan dipilih untuk dijadikan projek rintis agensi tunggal sempadan negara (SBA), yang bermula tahun depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pemilihan 10 pintu masuk negara itu dibuat berdasarkan beberapa kriteria termasuk kesibukan dan keunikan pintu sempadan terbabit.

"Sebagai contoh daripada 10 pintu masuk itu adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2; Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, ICQ Johor serta di Sabah.

"Itu antara pintu masuk yang kita pilih kerana Johor dan KLIA terkenal dengan kesibukan, manakala di Rantau Panjang pula unik kerana sibuk pada waktu tertentu sahaja.

"Perbincangan terperinci berhubung projek rintis berkenaan sedang giat dijalankan dan dijangka awal tahun depan kita sudah dapat mulakannya," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Pos Barisan Hadapan Briged Tenggara Pos Nibong, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan akan menubuhkan sebuah agensi tunggal sempadan negara (SBA).

Katanya, penubuhan agensi itu sebahagian daripada inisiatif memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, untuk SBA yang akan diketuai oleh kementeriannya itu, beliau akan mengguna pakai penjawatan sedia ada.

"Kita akan mengutamakan penjawatan sedia ada dan sekiranya perlu sahaja, kita akan memohon penjawatan yang baharu.

"Malah, perbincangan mengenai jenama yang akan diguna pakai juga masih dibincangkan. Kita juga sedang merangka struktur organisasi dan akan berlaku penyerahan tugas selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2023 @ 11:47 AM