SITUASI di Semenanjung Gaza adalah timpok hitam yang kian merebak dengan kadar kanak-kanak yang terbunuh dan tercedera begitu mengejutkan. FOTO AfP
SITUASI di Semenanjung Gaza adalah timpok hitam yang kian merebak dengan kadar kanak-kanak yang terbunuh dan tercedera begitu mengejutkan. FOTO AfP
Wartawan HM

Kuala Lumpur: Lebih 400 kanak-kanak terbunuh atau tercedera setiap hari akibat keganasan yang semakin meruncing di Semenanjung Gaza.

Hampir setiap orang kanak-kanak di sana terdedah kepada kejadian mencemaskan dan trauma daripada kemusnahan berleluasa, serangan tanpa henti, pengusiran dan kekurangan keperluan hidup yang melampau seperti makanan, air dan ubat-ubatan.

Pengeboman kem pelarian Jabaliya dalam siri serangan baru-baru ini mencederakan dan membunuh kanak-kanak di Gaza.

Pengarah Serantau Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) bagi kawasan Timur Tengah dan Afrika Utara, Adele Khodr berkata, situasi di Semenanjung Gaza adalah tompok hitam yang kian merebak dengan kadar kanak-kanak yang terbunuh dan tercedera begitu mengejutkan.

"Lebih menggerunkan, jika ketegangan ini tidak reda dan bantuan kemanusiaan seperti air, makanan, bekalan perubatan dan bahan api tidak dibenarkan, angka kematian harian akan terus meningkat."

"Peperangan dan penyekatan semua laluan bekalan menyebabkan kanak-kanak dan keluarga di Gaza tanpa makanan, air minuman yang bersih, bekalan elektrik, ubat-ubatan dan akses yang selamat ke hospital.

"Pembunuhan dan penahanan kanak-kanak mesti dihentikan. Kanak-kanak bukan sasaran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Unicef mengulangi gesaannya memanggil semua pihak berkonflik untuk segera melakukan gencatan senjata kemanusiaan.

"Perkara ini demi memastikan perlindungan dapat diberikan kepada semua kanak-kanak, serta bantuan keselamatan secara besar-besaran di seluruh Semenanjung Gaza dapat disampaikan melalui akses kemanusiaan yang selamat dan berterusan, mengikut Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa.

"Unicef menggerakkan 34 trak dengan bekalan kecemasan memasuki Semenanjung Gaza sejak 21 Oktober yang membawa ubat-ubatan dan kit perubatan bolehpakai ke Hospital Nasser untuk anggaran 165,000 orang, termasuk air minuman botol untuk 55,000 orang," katanya.

Beliau berkata, Unicef menganggarkan perbelanjaan untuk keperluan segera sebanyak RM94.3 juta (USD20 juta) sebagai tindakan permulaan bagi menyediakan keperluan keselamatan selama tiga bulan yang akan datang.

"Ia termasuk bahan api kecemasan untuk pengoperasian loji utama penyahgaraman air laut dan stesen pam air serta sanitasi yang terletak di seluruh Semenanjung Gaza.

"Pembaikan infrastruktur air, sanitasi dan kebersihan yang rosak, kit kebersihan untuk keluarga yang terkesan serta bekalan perubatan penting dan penjagaan kesihatan bayi baru lahir," katanya.

Adele Khodr berkata, suplemen mikronutrien serta bekalan nutrisi turut diperlukan untuk wanita dan kanak-kanak.

"Bantuan juga diperlukan untuk pemulihan sekolah yang rosak atau sekolah yang digunakan sebagai tempat perlindungan, serta pemulihan bahan pendidikan dan pembelajaran bagi mengatasi kehilangan peluang pendidikan.

"Sokongan psikologi juga penting bagi kanak-kanak dan ibu bapa mereka yang mengalami trauma," katanya.

Sumbangan boleh disalurkan kepada Tabung Krisis Rayuan Unicef Demi Kanak-kanak di Gaza melalui pemindahan bank atau derma dalam talian.

Orang awam yang berminat boleh menyumbang kepada tabung rayuan ini melalui cara-cara berikut:

a) Derma dalam talian:

Pautan derma (Inggeris): https://bit.ly/gaza-crisis-appeal

Pautan derma (Melayu): https://bit.ly/gaza-krisis-derma

Pautan derma (Mandarin): https://bit.ly/save-children-of-gaza-now

b) Pindahan Bank:

Nama Penerima: UNITED NATIONS CHILDREN'S FUND-EMERGENCY

Nama Bank: MALAYAN BANKING BERHAD / No. Akaun: 5143 2960 2449

Untuk pertanyaan atau pendermaan korporat sila hubungi: [email protected]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2023 @ 3:15 PM