GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Kuala Pilah : Penternak lembu dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku salah memukul isterinya yang juga seorang guru, 7 November lalu.

Tertuduh Ismail Ibrahim, 46 dari Gemencheh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Saiful Sayoti.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap wanita berusia 47 tahun itu di kaki lima hadapan sebuah restoran segera di Gemencheh pada 9.10 malam 7 November lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut seksyen yang sama dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama.

Mengikut fakta kes, pasangan itu bertengkar di hadapan restoran makanan segera itu ketika isterinya itu sedang menunggu bas untuk pulang ke kampung di Terengganu.

Ketika pertengkaran itu, tertuduh mencekik leher, menghantuk kepala isterinya ke dinding beberapa kali selain menumbuk pada bahagian mata kanan, malah kejadian itu turut disaksikan orang awam.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2023 @ 2:28 PM