TUAN Ibrahim pada sidang media, di pusat media Parlimen. FOTO Facebook Tuan Ibrahim Tuan Man
TUAN Ibrahim pada sidang media, di pusat media Parlimen. FOTO Facebook Tuan Ibrahim Tuan Man
Suzalina Halid

Kuala Lumpur: Kira-kira 300 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Islam mendesak pindaan perlembagaan dibuat segera bagi mengelakkan peruntukan jenayah syariah di negara ini dicabar dan lebih buruk berisiko dibatalkan.

Wakil NGO juga menggesa kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi menyelesaikan kemelut tekanan terhadap bidang kuasa Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam menggubal peruntukan berkaitan dengan kesalahan jenayah syariah bagi orang Islam.

Mereka menyerahkan memorandum gesaan itu di parlimen hari ini, yang diterima wakil rakyat daripada Perikatan Nasional (PN) susulan tiada wakil kerajaan yang menerimanya.

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) yang menerima memorandum itu berkata, isu mencabar mahkamah syariah di negara ini adalah penting untuk ditekankan dan ia merentasi parti politik untuk diselesaikan.

Tuan Ibrahim berkata, ini kerana, aspek perundangan Islam adalah berkait rapat dengan akidah yang tidak boleh dikompromi oleh mana-mana pihak.

"Sebelum ini, dalam perbahasan di parlimen, Kota Bharu membangkitkan persoalan penting supaya menteri agama mencelah dalam perbicaraan kes ini.

"Sebab kes ini implikasinya sangat besar kepada seluruh undang-undang Mahkamah Syariah di negara kita...sekiranya ia berlaku (diluluskan mahkamah) akan menyebabkan bidang kuasa mahkamah syariah ini, sebahagian besarnya akan terhapus," katanya pada sidang media, di pusat media Parlimen, hari ini.

Pada 2021, Mahkamah Persekutuan memutuskan dalam kes Iki Putra, bahawa negeri tiada lagi kuasa menggubal mana-mana undang-undang yang mempunyai unsur jenayah termasuk jenayah syariah.

Terbaharu, kes Nik Elin Zurina Rashid memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan supaya 20 seksyen kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah.

Selain itu, beliau juga memohon mahkamah mengisytiharkan Dun Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk membuat enakmen berkaitan kesalahan jenayah syariah yang terpakai kepada orang Islam saja.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 20 November ini bagi menyambung pendengaran petisyen peguam itu.

Pada masa sama, Tuan Ibrahim berkata, suatu himpunan munajat pada pagi 20 November itu akan diadakan di hadapan Istana Kehakiman, Putrajaya susulan prosiding terbabit.

"Selain itu, kita juga akan mengadakan himpunan di Terengganu pada 16 November dan di Kelantan, dua hari selepas itu," katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) pula berkata, sekiranya Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Nik Elin, ia sekali gus bermakna semua enakmen jenayah syariah di 14 negeri dianggap batal.

"Ini adalah isu umat Islam yang cukup besar dan ia boleh dianggap 3R (agama, bangsa dan institusi diraja) kerana menyentuh isu agama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 2:08 PM