ASYRAF Wajdi merasmikan Program Pembangunan Usahawan Automotif Mara Petronas (PUMP) di NASR Utara Automotif Sdn Bhd. FOTO BERNAMA
ASYRAF Wajdi merasmikan Program Pembangunan Usahawan Automotif Mara Petronas (PUMP) di NASR Utara Automotif Sdn Bhd. FOTO BERNAMA
Aizat Sharif

Kangar: Cadangan menaikkan jumlah biasiswa pendidikan Majlis Amanah Rakyat (Mara) sedang diteliti, kata Pengerusinya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurutnya, meskipun keadaan ekonomi tidak menentu dengan kos sara hidup meningkat dan kejatuhan Ringgit, Mara akan tetap memperkasa pendidikan, yang juga sebahagian daripada tujuan penubuhan agensi itu.

"Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) dalam lawatannya ke United Kingdom dan Jerman baru-baru ini juga sudah mengarahkan saya dan Mara untuk menilai perkara ini secara serius," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Outlet Program Pembangunan Usahawan Automotif Mara Petronas (PUMP) di sini hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, sebarang tambahan nilai biasiswa sama ada bagi mahasiswa dalam atau luar negara, sudah tentu mempunyai implikasi kewangan.

"Jadi ini semua harus dinilai semula dengan lebih teliti dan ia mempunyai kesan kewangan bukan kepada Mara sahaja, tetapi kepada kerajaan kerana peruntukkan itu datang daripada kantung negara," katanya.

Mengenai program, Nasr Utara Automotif Sdn Bhd menjadi pusat servis kenderaan pertama di Perlis ditaja di bawah PUMP, yang merupakan komitmen Mara dan Petronas dalam membangunkan usahawan automotif Bumiputera yang berdaya saing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2023 @ 2:53 PM