Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Hasrat untuk memaparkan nama Ahli Parlimen yang didapati dengan sengaja tidak hadir atau 'ponteng' sidang Parlimen di laman web Dewan Rakyat perlulah diperjelaskan kaedahnya oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, beliau bersetuju untuk Dewan Rakyat berbuat demikian namun, langkah pelaksanaannya perlu dijelaskan.

Ini kerana, katanya, jika ahli Parlimen itu di pihak kerajaan sudah pasti ada bertaraf menteri ataupun timbalan menteri yang tentunya mempunyai banyak urusan menyebabkan mereka tidak berkesempatan untuk hadir di Dewan Rakyat.

"Saya setuju. Tetapi, sebenarnya kita nak siar ini siapa dan macam mana... yang paling penting kita nak pastikan bahawa ada menteri, timbalan menteri. Mereka ini bekerja di jawatan eksekutif.

"(Menteri, timbalan menteri) kadang-kadang tak berkesempatan datang di Parlimen pagi, urusannya sebagainya... dan saya nampak kalau dia ada masa dia akan datang," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyempurnakan Penyampaian Sumbangan Deepavali, di Maluri, di sini, hari ini.

JOHARI (kiri) menyampaikan sumbangan sempena Deepavali bagi Parlimen Titiwangsa. FOTO Fathil Asri
JOHARI (kiri) menyampaikan sumbangan sempena Deepavali bagi Parlimen Titiwangsa. FOTO Fathil Asri

Beliau ditanya mengenai kenyataan Speaker Dewan Rakyat semalam apabila memberitahu, nama-nama Ahli Parlimen yang didapati dengan sengaja tidak hadir atau 'ponteng' sidang Parlimen mungkin akan dipaparkan di laman web Dewan Rakyat supaya pengundi kawasan Parlimen mereka maklum perkara terbabit.

Mengulas lanjut, Johari yang juga Naib Presiden Umno berkata, setakat ini kehadiran beliau pada sesi Dewan Rakyat sangat cemerlang.

Ditanya sama ada pengumuman yang dibuat Speaker Dewan Rakyat itu sebagai memberi amaran kepada pembangkang, Johari berkata, sebagai ketua majlis mesyuarat Speaker perlu menjaga kedua-dua belah pihak dan tidak boleh menyebelahi kepada satu pihak sahaja.

Bagaimanapun katanya, semua Ahli Parlimen perlu mempunyai tanggungjawab untuk hadir pada sidang Dewan Rakyat tetapi akan beritahu Speaker kalau ada tugasan luar pada hari itu, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 12:50 PM