Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menggunakan tiga pendekatan dalam memastikan harga ayam di pasaran terkawal.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Ali berkata, langkah pertama adalah menerusi pemantauan dan penguatkuasaan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan serta Akta Persaingan 2010 bagi kes tertentu.

Menurutnya, pendekatan kedua dengan melaksanakan mitigasi bersasar mengikut kawasan dan ketiga, memperluaskan program intervensi khususnya di Sabah, Sarawak, Labuan serta kawasan di Semenanjung yang ada isu penawaran harga tinggi.

"Pendekatan itu kita laksanakan serta-merta dan Kementerian Pertanian (dan Keterjaminan Makanan) sedia membantu sekiranya ada kawasan didapati menjual (ayam pada) harga tinggi untuk tahu apakah isunya, adakah babitkan bekalan?

"Jika ya, KPDN bekerjasama bantu selesaikan masalah dan kalau harga tinggi kita akan lakukan pengurusan mikro.

"Nasihat dan langkah perundangan akan diambil selain intervensi serta-merta, juga perbanyakkan jualan Rahmah dan Agro Madani untuk pastikan penduduk sekitar dapat akses (bekalan) ayam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengenalan kad diskaun khas bagi pengusaha Menu Rahmah di Restoran Ali Maju, Taman Sri Rampai, di sini, hari ini.

Adibah hadir bagi perbicaraan kes hadanah bersama bekas suaminya, Rosland Othman yang kini suami kepada Miera Leyana di Mahkamah Tinggi Syariah 2, Kuala Lumpur. FOTO AZIAH AZMEE
Adibah hadir bagi perbicaraan kes hadanah bersama bekas suaminya, Rosland Othman yang kini suami kepada Miera Leyana di Mahkamah Tinggi Syariah 2, Kuala Lumpur. FOTO AZIAH AZMEE

Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh dan pemilik rangkaian Restoran Ali Maju Datuk Jawahar Ali Taib Khan.

Mengulas mengenai status pemantauan harga ayam, Armizan berkata, sebanyak 90 peratus kawasan dipantau didapati menjual pada kadar di bawah RM9.40 untuk satu kilogram (kg), semalam.

Bagaimanapun, Armizan berkata, ada juga kawasan tertentu menjual pada kadar tinggi sehingga RM12.50 untuk satu kg.

"Saya sendiri turun untuk beri sokongan moral kepada jentera terdiri daripada lebih 200 pegawai penguat kuasa yang melakukan pemantauan.

"Secara keseluruhan, kebanyakan premis menjual di bawah RM9.40 dan kalau nak katakan kawasan luar bandar terkesan, ada satu pasar raya di Mersing semalam menawarkan harga RM6.49 untuk satu kg.

"Ada juga lokaliti di Rompin, Pahang dan Manir, Terengganu jual bawah harga (RM9.40 satu kg) dan sebab itu perlu pengurusan mikro serta melihat kerana kita sebenarnya mampu menawarkan harga lebih rendah daripada kawalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 3:32 PM