Nurul Hidayah Bahaudin dan Nur Elysa Amirah Suhaimi


Kuala Lumpur: Seorang lagi individu yang berada di luar negara dipercayai mempunyai kaitan dengan aset berkait 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bernilai jutaan ringgit hasil siasatan pihak polis terhadap Roger Ng.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, penemuan positif berkenaan susulan siasatan dilakukan terhadap bekas jurubank Kumpulan Goldman Sachs itu dalam melakukan pemulihan aset di dalam dan luar negara.

Bagaimanapun, beliau berkata, identiti individu berkenaan tidak boleh didedahkan kerana dikhuatiri akan mengganggu siasatan yang sedang berjalan.

"Penjejakan aset-aset berkenaan tidak semestinya membabitkan Roger sebaliknya terdapat individu lain lagi dikenal pasti mempunyai kaitan pemilikan dana 1MDB itu.

"Ini yang sedang dijejak oleh pihak kita (polis). Aset ini tidak semestinya di Malaysia dan boleh jadi berada di luar negara," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, di sini, hari ini.

Ramli berkata, siasatan terhadap Roger masih lagi diteruskan ketika ini dan tumpuan akan diberikan kepada pemulihan aset berkenaan.

"Aset-aset ini berada di pelbagai lokasi jadi ini yang akan jadi tumpuan siasatan dan Roger masih lagi dalam tahanan pihak polis," katanya.

Pada 10 Oktober lalu, siasatan polis terhadap Roger memberi fokus kepada modus operandi berkaitan penjualan bon dipercayai dana 1MDB.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dipetik berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengenal pasti aset-aset dimiliki Roger dipercayai daripada dana 1MDB.

Pihaknya percaya soal siasat terhadap lelaki berusia 51 tahun itu akan membawa kepada maklumat berkaitan pembabitan suspek lain termasuk suspek utama Low Taek Jho atau Jho Low.

Pada 19 Disember 2018, Roger mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs berhubung penjualan bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion dengan menggugurkan fakta material dan membuat kenyataan palsu.

Beliau didakwa melakukan semua kesalahan itu di pejabat 1MDB, Tingkat 8, Menara IMC, Jalan Sultan Ismail di sini, antara 19 Mac 2012 hingga 11 November 2013.

Roger ditahan pada 9 Oktober lalu selepas tiba dari Amerika Syarikat (AS) dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 1:27 PM
RAMLI ketika sidang media mengenai jenayah penipuan dalam talian di Ibu Pejabat JSJK, Menara KPJ. FOTO Eizairi Shamsudin
RAMLI ketika sidang media mengenai jenayah penipuan dalam talian di Ibu Pejabat JSJK, Menara KPJ. FOTO Eizairi Shamsudin