Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin beramah mesra dengan Muhammad Ambri Mohd Sha'ri. FOTO  Asrol Awang
Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin beramah mesra dengan Muhammad Ambri Mohd Sha'ri. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: "Impian saya pada majlis konvokesyen, Yang di-Pertuan Agong akan menyampaikannya. Alhamdulillah ia menjadi kenyataan," kata penerima Anugerah Pelajaran Diraja Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Muhammad Ambri Mohd Sha'ri.

Muhammad Ambri berkata, dia sangat teruja kerana impian menerima anugerah daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Canselor UMPSA menjadi kenyataan pada Majlis Konvokesyen Kali Ke-18 UMPSA di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Gambang, di sini, hari ini.

"Impian saya pada majlis konvokesyen, Yang di-Pertuan Agong akan menyampaikannya dan pada masa sama, saya tidak sangka akan dapat Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) ini.

"Apabila memaklumkan kepada keluarga tercalon sebagai penerima anugerah, saya beranggapan peluang adalah tipis namun bersyukur apabila disenaraikan sebagai penerima anugerah ini," kata graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Automotif dengan kepujian.

Kecemerlangan Muhammad Ambri terbukti apabila memperoleh Anugerah Dekan pada setiap semester dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.94.

Anak sulung daripada tiga beradik itu tidak hanya cemerlang dalam bidang akademik, malah turut bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti sepanjang tujuh semester pengajian di UMPSA.

Katanya, modul pembelajaran UMPSA sangat membantu kerana berkaitan dengan keadaan sebenar ketika menempuh alam pekerjaan.

"Peningkatan dan penambahbaikan bagi setiap modul sentiasa dipertingkatkan oleh semua tenaga pengajar dan mereka akan memastikan modul pembelajaran yang diterapkan dalam kelas sentiasa mengikut perkembangan teknologi semasa.

"Ini membolehkan pelajar untuk sentiasa mendapat ilmu baharu dan didedahkan dengan pembaharuan yang berlaku di luar universiti," kata anak pengimpal dan pembantu arkitek, Mohd Sha'ri Muharam, 56 dan Rozita Abdul Rahman, 54.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2023 @ 3:28 PM