Tinjauan di sebuah pasaraya mendapati rak meletak gula kosong selepas kehabisan bekalan. Foto FAIZUL AZLAN RAZAK
Tinjauan di sebuah pasaraya mendapati rak meletak gula kosong selepas kehabisan bekalan. Foto FAIZUL AZLAN RAZAK
Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: Peruncit mendakwa 'sama naik' beratur dengan pengguna lain untuk mendapatkan bekalan seperti gula, minyak masak peket dan telur ayam di pasaran.

Seorang peniaga kedai runcit di bandar raya ini, Nizam Hashim, 53, berkata, dia terpaksa mencari alternatif sendiri dengan menjelajah mencari bekalan di beberapa pasar raya untuk jualan di kedainya.

Menurutnya, kuantiti yang diperoleh juga tidak banyak, malah sama seperti mana pembeli lain dapat sekali gus memberi masalah kepadanya untuk berniaga.

"Saya masih sanggup lagi mencari bekalan seperti gula dan minyak masak peket walaupun terpaksa menghabiskan masa ke beberapa pasar raya yang ada di sekitar bandar raya ini.

"Namun, untuk bekalan telur ayam saya tidak lagi sanggup mendapatkannya apabila terpaksa beratur lebih satu jam di kedai pemborong untuk hanya dua atau tiga papan seorang.

"Tiga barangan iaitu gula, minyak masak peket dan telur ayam bukannya tidak ada langsung tetapi tidak banyak dan terhad di pasaran," katanya yang ditemui di kedainya di Jalan Sultan Zainal Abidin di sini, hari ini.

Sementara itu, pekerja sebuah pasar raya di bandar raya ini yang mahu dikenali sebagai Nor berkata, pihaknya terpaksa mengehadkan jualan sekiranya memperoleh bekalan gula dan minyak masak peket.

Katanya, buat masa sekarang kedua-dua barangan asas terbabit sudah habis sejak beberapa hari lalu dan masih menunggu bekalan baharu sampai.

"Saya tidak pasti bila bekalan baharu akan sampai dan buat masa sekarang ini, kita tiada bekalan walaupun satu kilogram (kg) minyak masak peket ataupun gula.

"Walaupun kita mengehadkan kepada pembeli, namun bekalan cepat habis kerana bekalan yang diterima tidak banyak berbanding sebelum ini," katanya.

Tinjauan yang dilakukan di beberapa kedai runcit dan pasar raya di sekitar bandar raya ini serta Kuala Nerus kebanyakan kehabisan bekalan.

Difahamkan, peruncit dan pasar raya juga terpaksa mengehadkan penjualan gula dan minyak masak peket dengan kuantiti satu hingga tiga kg serta dua papan telur ayam kepada seorang pembeli.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 11:35 AM