Noorazura Abdul Rahman

Gurun: Kira-kira 400 penduduk Kampung Batu 8 di sini, terpaksa berdepan gangguan lalat sejak 10 tahun lalu, berikutan kewujudan ladang ternakan ayam yang terletak tidak sampai dua kilometer dari kediaman mereka.

Penduduk yang juga Ketua Sukarelawan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun, Azhar Ali, 48, berkata keadaan itu menyebabkan mereka hidup dalam keadaan tertekan apabila aktiviti harian sering terganggu sehingga terpaksa menanggung malu apabila dikunjungi tetamu.

"Selalunya lalat akan banyak pada hari ladang keluarkan ayam, waktu itu rumah penduduk seperti terkena 'serangan' lalat, hendak masak dan makan pun susah, sebelah tangan suap makanan sebelah tangan mengibas lalat.

"Memang kami rasa tak tenang bila berada di rumah, kadang-kadang walaupun makanan di tutup dengan tudung saji, tapi ada juga lalat kecil yang dapat masuk sehingga banyak perbelanjaan diperlukan untuk membeli kertas pelekat lalat," kata bapa kepada enam anak itu.

Azhar berkata, dia bimbang jumlah lalat yang terlalu banyak akan menyebabkan kesihatan penduduk terjejas sekiranya keadaan itu terus berlarutan tanpa tindakan tegas pihak berkuasa.

Penduduk Kampung Batu 8, Azhar Ali, 48, menunjukkan kertas pelekat lalat yang digunakan akibat 'serangan' lalat di kampung mereka sejak 10 tahun lalu. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Penduduk Kampung Batu 8, Azhar Ali, 48, menunjukkan kertas pelekat lalat yang digunakan akibat 'serangan' lalat di kampung mereka sejak 10 tahun lalu. FOTO Noorazura Abdul Rahman

Bagi penduduk, Siti Hawa Jusoh, 67, berkata ladang ternakan ayam itu sepatutnya dibuka di kawasan lebih jauh dari penempatan penduduk berikutan kampung itu sudah wujud sejak 60 tahun lalu.

Katanya, ladang ayam di dalam tanaman sawit berkenaan terletak bertentangan jalan berdekatan rumahnya menyebabkan kediamannya dipenuhi lalat 24 jam sehingga sukar melakukan aktiviti harian.

"Saya ada penyakit darah tinggi dan kencing manis, saya perlu rehat yang mencukupi tapi saya tak boleh tidur, lalat terlalu banyak hinggap di badan dan muka setiap kali saya baring di ruang tamu atau di bilik.

"Selain itu apabila ada kenduri, kerja menyediakan makanan untuk tetamu sangat terganggu. Tetamu hendak makan pun susah, kadang-kadang saya terfikir pandangan orang sekiranya mereka tidak tahu wujud ladang ternakan ayam berdekatan kampung," katanya yang juga ibu tunggal.

Siti Hawa berharap pihak bertanggungjawab dan agensi berkaitan dapat mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah itu agar kehidupan penduduk kampung lebih tenteram tanpa gangguan lalat.

"Di ladang mungkin pemiliknya menyembur ubat atau bahan yang menghalau lalat, namun masalahnya lalat serang kampung kami, mohon pihak berwajib dapat melakukan sesuatu agar wujud situasi menang-menang antara penduduk dan pemilik ladang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2023 @ 1:29 PM