FISOL menunjukkan gambar Pati warga Myanmar yang ditahan bersama tekong darat di Changlun. FOTO Zuliaty Zulkiffli
FISOL menunjukkan gambar Pati warga Myanmar yang ditahan bersama tekong darat di Changlun. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Pemandu teksi sanggup bertindak sebagai transporter untuk membawa masuk pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Myanmar ke negara ini secara haram.

Lelaki berusia 60 tahun itu akan dibayar RM50 untuk setiap Pati dibawa dan dihantar ke sebuah rumah transit di Kampung Cherok Mokkan, Napoh dekat sini.

Dia ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu dan Balai ICQS Bukit Kayu Hitam pada 5 petang Rabu lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, ketika ditahan, lelaki itu membawa lima penumpang termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun disyaki Pati warga Myanmar dengan kereta Perodua Axia.

Beliau berkata, suspek dipercayai mengambil Pati terbabit di belakang sebuah restoran makanan segera di Pekan Changlun untuk dihantar ke rumah transit berkenaan.

"Suspek turut mengaku pernah menjadi transporter sebanyak empat kali sepanjang bulan ini untuk dihantar ke rumah transit berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemui seorang lelaki warga Myanmar di bahagian penumpang hadapan kereta dan tiga wanita serta seorang kanak-kanak lelaki Myanmar di bahagian belakang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kesemua warga asing berusia lingkungan 37 hingga lima tahun itu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah.

Fisol berkata, empat telefon bimbit turut dirampas untuk tindakan lanjut.

"Susulan tangkapan itu, polis menyerbu rumah tidak bernombor itu di kawasan kebun getah di Kampung Cheruk Mokkan, Changlun pada jam 5.45 petang.

"Hasil serbuan itu, tiga lagi Pati warga Myanmar berada dalam rumah itu termasuk dua lelaki dan seorang wanita ditahan untuk siasatan," katanya.

Fisol berkata, hasil siasatan mendapati, rumah itu disyaki sebagai transit untuk warga Myanmar yang baru masuk ke Malaysia.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) untuk tekong berkenaan, manakala kesemua Pati yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 9:48 PM