Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Gajah: Tular video mengejutkan sejak semalam memaparkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun nyaris dirempuh kenderaan di Jalan Melaka Pindah, berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Melaka Pindah, di sini, pagi semalam.

Berdasarkan rakaman berdurasi tiga minit itu, kejadian berlaku sekitar jam 6.51 pagi apabila kanak-kanak itu dipercayai keluar sendiri dari sebuah kereta yang diparkir di kiri jalan dan terus melulu ke tengah jalan dalam keadaan trafik agak banyak di kedua-dua hala menuju ke Durian Tunggal dan ke Alor Gajah.

Kanak-kanak itu bagaimanapun terselamat apabila pemandu kereta Perodua Myvi sempat membrek daripada merempuhnya yang ketika itu sudah berada di tengah jalan dan insiden mencemaskan itu turut dirakam kamera papan pemuka kereta itu.

Menerusi rakaman itu turut terdengar dentuman kuat dipercayai kenderaannya dirempuh kenderaan lain selepas berhenti mengejut bagi mengelak dari melanggar mangsa.

Kelihatan juga seorang lelaki segera mendukung bayi berkenaan sebelum diserahkan kepada seorang wanita dipercayai ibu kanak-kanak itu yang terus membawanya masuk ke dalam kereta.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu yang dihubungi, mengesahkan insiden itu menyebabkan kemalangan antara Perodua Myvi berkenaan dengan motosikal Honda Cbr 250.

Menurutnya, pemandu kereta berusia 32 tahun adalah seorang guru wanita yang dalam perjalanan dari Pekan Durian Tunggal menghala ke Lendu.

"Setibanya di tempat kejadian secara tiba-tiba kanak-kanak melintas secara mengejut menyebabkan guru terbabit membrek sebelum terdengar dentuman dari arah belakang.

"Mangsa mendapati motosikal ditunggang seorang operator kilang berusia 28 tahun melanggar belakang keretanya.

"Guru itu tidak cedera manakala penunggang terbabit hanya mengalami luka dan cedera ringan," katanya.

Arshad berkata, siasatan awal mendapati ibu kanak-kanak itu berhenti seketika di tepi jalan untuk menghantar anak ke SK Melaka Pindah di seberang jalan.

"Tanpa disedari anaknya berusia dua tahun keluar dari kereta dan melintas jalan dan turut berada dalam kenderaan itu adalah anaknya berumur lima tahun.

"Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59)," katanya.

Menurut Arshad, polis turut memanggil ibu kanak-kanak itu ke balai polis dan diberikan nasihat selain tidak menolak kemungkinan jika terdapat arahan lanjut untuk mengambil tindakan ke atas kecuaian yang berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 6:07 PM