BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berlepas ke New York, Amerika Syarikat, malam ini, untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78.

Dalam catatan di Facebooknya, Perdana Menteri berkata beliau bersama Dr Wan Azizah dan delegasi Malaysia memulakan perjalanan menuju ke New York bagi menyertai UNGA ke-78.

Delegasi Malaysia dijangka tiba di New York pada jam 10 pagi Rabu (10 malam waktu Malaysia).

Anwar berkata dalam perhimpunan bersama pimpinan dunia ini, beliau antara lain akan berkongsikan usaha Malaysia dalam menangani krisis iklim bagi mencapai Agenda 2030, hala tuju negara di bawah kerangka Malaysia MADANI serta beberapa isu global lain.

"Doakan misi delegasi Malaysia berjalan lancar insya-Allah," katanya.

Anwar akan mengetuai delegasi Malaysia ke UNGA ke-78 yang bermula hari ini hingga 26 September ini.

Ini adalah penampilan pertama Anwar di perhimpunan tahunan pemimpin dunia itu dan beliau akan menyampaikan Kenyataan Negara pada sesi Debat Umum pada Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2023 @ 12:59 AM