Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Seorang wanita yang lumpuh akibat angin ahmar selain tidak dapat melihat akibat menghidap kencing manis, kini tinggal di sebuah pondok berdindingkan plastik bersama suaminya sejak setahun lalu.

Pasangan Mat Saad Abu, 54, dan Zaimah Mohd Yusoff, 54, berpindah dari rumah anak kedua mereka yang terletak bersebelahan pondok itu kerana Zaimah tidak boleh berada dalam suasana panas memandangkan kerap diserang sawan.

Mat Saad berkata, mereka mengambil keputusan untuk tinggal di pondok itu kerana ia lebih selesa dan nyaman.

"Sebelum ini kami tinggal di kampung isteri di Kuala Kangsar, Perak dengan kami berkerja sebagai pengawal keselamatan. Isteri menghidap kencing manis sejak sekian lama dan dia kemudian terbabit kemalangan motosikal menyebabkan kaki kanannya cedera parah.

"Pada 2020, kami diuji apabila isteri terkena serangan angin ahmar menyebabkan dia lumpuh dan tidak mampu berjalan, hanya tangan kanannya masih dapat bergerak.

"Akibat cuaca terlalu panas, isteri juga beberapa kali diserang sawan, jadi kami ambil keputusan tinggal di pondok ini kerana rasa nyaman dan sejuk, hendak menyewa di rumah yang lebih selesa memang saya tidak mampu," katanya yang tinggal di Kampung Kebun Pinang, Simpang Empat di sini.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, dia kini hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan tidak menentu antara RM40 hingga RM50 sehari.

Katanya, setiap hari dia dijemput majikan untuk pergi dan pulang bekerja kerana tidak memiliki kenderaan.

"Kerja saya bukan setiap bulan ada, ada projek ada kerja, tiga anak saya semuanya perempuan, mereka sangat baik dan selalu membantu kami.

"Bagaimanapun, mereka sudah berkeluarga dan bukannya orang senang, anak perempuan kedua kami selalu datang membantu di rumah termasuk menyuapkan makanan untuk ibunya," katanya.

Menurutnya, Zaimah hanya mampu mengesot selain tidak mampu melakukan apa-apa kerja malah penyakit dihidapi turut menyebabkan dia ada kalanya menjadi pelupa.

"Sejak tinggal di pondok ini, kami memang berasa bimbang, tetapi ini saja tempat tinggal yang sesuai untuk kami.

"Pendapatan saya digunakan untuk membeli makanan dan barangan keperluan selain lampin pakai buang isteri," katanya.

Bagaimanapun, Mat Saad tidak menduga pertemuan dengan rakan lamanya dua hari lalu menyebabkan kisah hidup mereka tular di media sosial seterusnya mendapat pelbagai bantuan daripada pelbagai pihak.

Katanya, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) turut difahamkan akan membantu menyewakan sebuah rumah di Kampung Terong untuk mereka tinggal malah mereka dijangka berpindah petang ini.

Selain itu, katanya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta wakil rakyat turut memberikan bantuan lain termasuk kewangan.

"Alhamdulillah ada beberapa pihak datang melawat kami sejak kisah kami tular, Insya-Allah semua urusan kami ini dipermudahkan. Terima kasih tidak terhingga kepada semua pihak yang membantu serta mendoakan kami.

"Buat masa ini, saya perlukan motosikal untuk memudahkan aktiviti harian selain membawa isteri ke klinik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 3:36 PM