Anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur melakukan pemantauan dalam Op Hormat Undang-Undang Fasa 2. FOTO ihsan Polis
Anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur melakukan pemantauan dalam Op Hormat Undang-Undang Fasa 2. FOTO ihsan Polis
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Menghalang lalu lintas terus menjadi kesalahan tertinggi yang direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Op Hormat Undang-Undang Jalan Raya, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kesalahan itu merekodkan 5,317 saman daripada keseluruhan 6,964 saman yang dikeluarkan pada hari keempat operasi berkenaan.

"Kesalahan lain adalah meletakkan kenderaan di laluan pejalan kaki atau garisan putih dengan 332 saman; tidak patuh lampu isyarat merah (133); tiada lesen memandu termasuk warga asing (105); nombor plat fancy (21); serta kesalahan lain (1,053).

"Kesemua kesalahan itu dikesan dalam 16 operasi yang dijalankan sekitar Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Sarifudin berkata, pihaknya turut menahan 11 individu atas pelbagai kesalahan termasuk dadah.

Operasi fasa kedua itu bermula sejak 15 sehingga 29 September ini dan tertumpu di 16 lokasi berbeza sekitar ibu negara.

Penguatkuasaan lebih tegas akan menumpukan kepada tujuh jenis operasi iaitu Op Parkir Haram, Op Halangan, Op Lampu Merah, Op Nombor Pendaftaran, Op Cermin Gelap, Op Motosikal dan Op Didik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 1:34 PM