Nie Ching (dua dari kiri) bersama komuniti Kulai sebelum tayangan filem Malbatt : Misi Bakara. FOTO OMAR AHMAD
Nie Ching (dua dari kiri) bersama komuniti Kulai sebelum tayangan filem Malbatt : Misi Bakara. FOTO OMAR AHMAD
Oleh Omar Ahmad


Kulai: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sedang meneliti semula Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi memastikan perundangan itu lebih relevan dan berkesan terhadap jenayah siber.

Timbalan Menteri, Teo Nie Ching, berkata penambahbaikan akan dibuat bagi memastikan peruntukan undang-undang lebih berkesan bukan sahaja kepada pengguna media sosial, malah kepada penyedia perkhidmatan.

Beliau berharap pindaan akta akan dibentang di sidang Parlimen pada akhir tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan.

"Pindaan menyentuh beberapa perkara bagi meningkatkan tanggungjawab pembekal perkhidmatan yang memerlukan mereka menyimpan data untuk tempoh panjang supaya lebih senang polis atau penguat kuasa menjalankan siasatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri tayangan filem Malbatt: Misi Bakara di sini, hari ini.

Dalam pada itu, KKD bersedia memberikan kerjasama berhubung usaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang akan mengkaji undang-undang berkaitan jenayah siber dengan memasukkan elemen penipuan melalui perisian dan peranti komputer.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain memberitahu ini kerana kesalahan jenayah siber dijangka terus meningkat pada masa akan datang susulan kepesatan teknologi terutama melalui penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2023 @ 2:53 PM