JOHARI akan membuat keputusan mengenai usul akan dikemukakan Wan Ahmad Fayhsal pada pembukaan Dewan Rakyat, esok. FOTO Bernama.
JOHARI akan membuat keputusan mengenai usul akan dikemukakan Wan Ahmad Fayhsal pada pembukaan Dewan Rakyat, esok. FOTO Bernama.
Rohaniza Idris


Kuala Lumpur: Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengesahkan menerima notis usul tergempar yang dikemukakan

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Ia berhubung penjelasan Peguam Negara di Parlimen mengenai keputusan lepas tanpa bebas (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi.

Beliau berkata, surat notis usul itu sudah diterima Jumaat lalu dan sedang menelitinya.

"Saya akan putuskan mengenai surat itu esok. Saya kini sedang menyiasat (meneliti) kerana masih ada masa untuk mempertimbangkan dalam tempoh 48 jam mengikut peraturan," katanya kepada BH.

Johari berkata demikian ketika ditanya mengenai notis usul tergempar dikemukakan Wan Ahmad Fayhsal yang meminta sidang parlimen Dewan Rakyat ditangguhkan esok mengikut Perkara 18 (1) dan (2) Peraturan Majlis Mesyuarat.

Ia untuk memohon penjelasan daripada Peguam Negara mengenai keputusan penarikan balik 47 pertuduhan ke atas Ahmad Zahid.

Johari turut mengesahkan notis usul itu tidak ada dalam Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat kerana baru diterima pejabatnya Jumaat lalu.

"Esok pagi saya akan buat keputusan dan kita tunggu apa-apa pengumuman dalam pembukaan sidang nanti," katanya.

Ditanya kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar yang menolak untuk membahaskan usul itu, Johari berkata, tiada keperluan untuk beliau mengulas perkara itu.

Berhubung dakwaan Perikatan Nasional (PN) bahawa Anwar melanggar undang-undang dan berlaku penyalahgunaan kuasa kerana menolak usul itu, katanya, beliau perlu meneliti dulu notis usul yang dikemukakan.

"Keutamaan saya untuk selidik dulu notis usul dan rasa saya tidak perlu komen perkara yang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2023 @ 5:00 PM