KEADAAN di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Bomba
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Seramai 21 individu terbabit nahas membabitkan enam kenderaan termasuk dua treler di Kilometer (KM) 164.8 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) berhampiran susur keluar Bukit Minyak-Sungai Bakap dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira 4 pagi itu, seorang wanita warga tempatan dilaporkan maut, seorang parah, lima cedera, manakala 14 individu lagi selamat.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan berhubung insiden berkenaan.

Katanya, sebaik tiba, didapati kemalangan membabitkan dua treler yang salah satunya membawa muatan kayu terbalik dan menyebabkan empat kenderaan lain terbabit nahas.

"Mangsa yang maut dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya.

Jelasnya, operasi menyelamat masih lagi di jalankan untuk memastikan tiada lagi kenderaan atau mangsa yang tertimbus di bawah longgokan kayu berkenaan.

"Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2023 @ 9:55 AM