AZAM Baki (tengah) merasmikan
AZAM Baki (tengah) merasmikan
Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) menjadi perintis bagi penerbitan buku panduan Tatacara Pelaksanaan Fungsi Teras Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Buku itu diterbitkan sebagai panduan Unit Integriti dan Governans bagi Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK).

Perasmian buku itu disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan SriAzam Baki pada Hari Integriti 2023 yang dianjurkan oleh Prolintas semalam dengan kerjasama SPRM.

Inisiatif itu menjadi simbolik misi usaha sama berterusan antara Prolintas dan SPRM bagi menggalakkan ketelusan, integriti dan tadbir urus yang berkesan dalam ruang lingkup SBK.

"Versi terbaharu tatacara itu dibangunkan secara teliti oleh Divisyen Pengurusan Integriti Agensi, SPRM yang dipimpin oleh Pengarah Divisyen berkenaan, Datuk Nor Azmi Karim.

"Prolintas menjadi peneraju bagi terjemahan buku panduan berkenaan ke dalam bahasa Inggeris dan menaja penerbitannya yang akan diedarkan ke lebih 300 SBK seluruh negara.

"Melalui inisiatif Prolintas itu, SPRM menawarkan insentif pengecualian cukai kepada pihak syarikat selain menjadi penerbit bersama rasmi buku panduan itu," katanya dalam satu kenyataan media.

Selain Prolintas, panduan baharu buku itu turut dibangunkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Khazanah Nasional Berhad, Indah Water Konsortium (IWK) dan UEM Sunrise Berhad.

"Buku itu adalah sumber penting bagi SBK khususnya bagi Unit Integriti dan Governans, selari dengan saranan Jabatan Perdana Menteri.

"Ia menerangkan panduan khusus bagi pihak terbabit untuk memperkukuh nilai integriti organisasi masing-masing sejajar dengan matlamat SPRM," katanya.

Sesi perkongsian ilmu dan forum memfokuskan topik penting dalam bidang integriti, tadbir urus terbaik serta governans korporat turut diadakan pada program Hari Integriti 2023 itu.

Sesi itu menampilkan panel jemputan berpengalaman luas dalam bidang mereka termasuk Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Norazlan Mohd Razali.

Lebih 200 peserta yang terdiri daripada pegawai Unit Integriti dan Governans SBK seluruh negara hadir ke program berkenaan.

"Prolintas komited untuk terus memartabatkan nilai integriti dan tadbir urus berkualiti dalam pengoperasian, pengendalian projek dan misi kelestariannya.

"Usaha syarikat dalam memperkukuh pencegahan anti rasuah khususnya pendekatan proaktif dalam mematuhi Seksyen 17A Liabiliti Korporat membolehkan kadar risiko rasuah yang dinilai oleh SPRM berubah daripada tinggi kepada sederhana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 4:24 PM