GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Hantaran bertemakan kaum serta agama menguasai tiga platform media sosial sepanjang 'demam' Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Tema kempen berkisar kepada dua elemen berkenaan dilihat paling popular untuk platform media sosial Facebook (FB), Twitter (Kini dikenali sebagai X) dan TikTok.

Berdasarkan kajian daripada Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) Malaysia, untuk tempoh 24 Julai hingga 9 Ogos lalu, terdapat lebih 36,000 hantaran di ketiga-tiga platform berkenaan berkaitan dengan tema politik.

Bahan kiriman bertemakan bangsa merekodkan hantaran paling tinggi untuk ketiga-tiga platform berkenaan manakala agama adalah yang kedua tertinggi.

Untuk platform FB, hantaran bersifat bangsa merekodkan 50.82 peratus, Twitter (X) adalah 47.94 peratus dan TikTok pula 51.55 peratus.

Bagi hantaran berkisar kepada agama pula, untuk platform FB adalah 19.09 peratus, Twitter (22.51 peratus) dan TikTok (26.80 peratus).

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, data yang dibuat oleh CIJ Malaysia itu jelas memperlihatkan permainan persepsi masih menjadi 'resepi utama' untuk ahli politik pada PRN kali ini.

"Dapat juga kita simpulkan bahawa rata-rata rakyat negara ini mempunyai keterujaan yang berlebihan jika menyentuh soal agama serta bangsa melangkaui aspek lain.

"Berdasarkan data itu juga, kita tidak melihat satu fakta yang empirikal bahawa kebanyakan pengguna media sosial ini cenderung untuk mengetahui manifesto sesebuah parti, perancangan ekonomi sesebuah blok politik dan pelan jangka panjang untuk negara ini.

"Tema politik kita hanya berkisar kepada agama serta bangsa, biarpun kita tidak boleh melakukan kesimpulan menyeluruh kerana kekurangan data yang konkrit, namun rangkuman awal ini sudah boleh melihat kecenderungan motif politik," katanya.

Beliau berkata, pengguna media sosial seharusnya menggunakan platform berkenaan dengan sebaik mungkin dan tidak hanya bergantung kepada permainan persepsi sebaliknya keupayaan untuk semak silang sesuatu maklumat.

"Kita mahu mendidik rakyat kita menjadi rakyat kelas pertama yang mempunyai fikiran matang dalam segala hal termasuk politik.

"Rangkuman data awal ini agak membimbangkan apabila kita sangat tertarik kepada satu segmen saja tanpa melihat gambaran yang lebih besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 5:11 PM