Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohamad Zaki Harun (tengah). FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohamad Zaki Harun (tengah). FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Siti Rohana Idris


Tumpat: Polis Kelantan akan membuat siasatan lanjut berhubung insiden seorang lelaki yang didakwa dikasari beberapa anggota polis di perkarangan sebuah balai di Kota Bharu malam tadi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kejadian itu dipercayai berpunca oleh provokasi seorang lelaki yang menaiki motosikal membawa bendera parti dan membuat bising.

"Kes malam tadi, seorang lelaki membawa bendera dengan bunyi bising, lalu di hadapan balai (polis) dan membuat bising, seolah-olah mencabar.

"Sebagai penguatkuasa, kita tidak menyahut cabaran itu tapi insiden terbabit akan disiasat dari segi mungkin berlaku halangan terhadap pihak polis.

"Kedua, anggota di balai itu juga akan dijalankan siasatan dalaman di bawah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) dan jika berlaku ketidakwajaran dalam tindakan atau berlaku sesuatu yang menyalahi peraturan, kita akan ambil tindakan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu tular rakaman video berdurasi 15 saat memaparkan seorang lelaki yang menunggang motosikal dan memakai bendera sebuah parti dikasari beberapa individu dipercayai anggota polis.

Muhamad Zaki berkata, satu lagi kes diterima berkaitan ubahsuai kenderaan menjadi kereta kebal dan digunakan di atas jalan raya yang disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987.

"Semalam kita sudah menahan satu kereta yang buat ubahsuai dan tindakan akan diambil di bawah APJ 1987 dengan denda boleh sampai RM2,000 dan enam bulan penjara.

"Ini yang dikatakan kematangan berpolitik tapi ada lagi segelintir anak muda yang tidak begitu faham, terlalu teruja dan ghairah yang menyebabkan jadi macam ni," katanya yang meninjau proses pengundian di Sekolah Menengah Agama Falahiah di sini.

Dalam perkembangan sama, Muhamad Zaki berkata, secara keseluruhan proses pengundian di Kelantan berjalan baik dan setakat jam 11 pagi, sebanyak 26 peratus yang keluar mengundi.

Katanya lagi, dari segi aliran trafik juga, tiada berlaku sebarang kesesakan hasil dari tinjauan yang dilakukan sama ada menerusi udara atau darat.

"Setakat jam 11 pagi ini, pengundian mencatatkan 26 peratus dan walau angka itu tidak begitu tinggi berbanding negeri lain, proses pengundian berjalan lancar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 2:44 PM