Muhamad Fekri membuka markas PH di perkarangan kediaman Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah di Kampung Panchor, di sini susulan tidak berpuas hati terhadap pemerintahan PAS di Kelantan. FOTO Nor Fazlina Abdul Rahim
Muhamad Fekri membuka markas PH di perkarangan kediaman Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah di Kampung Panchor, di sini susulan tidak berpuas hati terhadap pemerintahan PAS di Kelantan. FOTO Nor Fazlina Abdul Rahim
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Ketidakpuasan hati terhadap kepimpinan Pas Kelantan mendorong seorang peniaga membuka markas Pakatan Harapan (PH) di perkarangan kediaman Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Malah, tindakan Muhamad Fekri Muhamad Yusoff, 62, yang membuka markas di Kampung Panchor, di sini, itu disifatkan pertama kali dalam sejarah hidupnya kerana selama ini tiada mana-mana markas dari parti lain selain Pas dibuka di sekitar kawasan berkenaan.

Muhamad Fekri adalah sepupu kepada Mohd Amar yang juga calon Pas bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Panchor, selain calon dari PH untuk Dun berkenaan, Syed Mohd Alidustur Syed Mohd Zain, 50, juga adalah saudaranya.

Lebih menarik, dalam kawasan lot tanah sama, turut terdapat markas Pas iaitu beberapa meter sahaja dari markas PH.

Muhamad Fekri berkata, dia mula membuka pos berkenaan selepas PKR mengumumkan Syed Mohd Alidustur adalah calon PKR yang mewakili PH bertanding di Dun berkenaan melawan Mohd Amar.

"Saya buka markas ini di atas lot tanah yang sama dengan kediaman Mohd Amar tanpa paksaan sesiapa. Mohd Amar adalah sepupu saya, manakala Syed Mohd Alidustur juga saudara saya. Ini dikira tanah ahli keluarga saya juga.

"Sejak lahir sehingga sekarang, ini kali pertama markas parti lain dibuka di kawasan ini kerana tempat ini terkenal dengan kubu Pas sejak dahulu. Tujuan saya berbuat sedemikian kerana tidak berpuas hati terhadap kepimpinan Pas sekarang.

"Pas yang kini bukan lagi Pas yang dulu ketika pemerintahan Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat. Pemimpin sekarang hanya menggunakan nama Allahyarham sedangkan tindakan mereka adalah tidak selari," katanya ketika ditemui di sini, malam tadi.

Beliau berkata, tindakannya itu disifatkan sebagai politik matang tanpa perlu bergaduh sesama saudara hanya disebabkan fahaman politik yang berbeza.

"Saya beritahu saudara-mara yang tidak berpuas hati dengan tindakan saya. Kita tidak perlu bergaduh hanya disebabkan politik kerana saya hanya bermain politik selama tempoh berkempen sahaja.

"Saya juga tidak bergaduh dengan Mohd Amar kerana setiap kali solat, kami akan solat di masjid sama. Ini dikatakan politik matang. Selepas ini sebaik sahaja selesai mengundi, saya akan menutup semula markas ini.

"Jika sebelum ini saya adalah penyokong Pas, namun sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), saya menyokong PH," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 8:08 AM