GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Sindiket perjudian dalam talian menjadikan unit kondominium mewah di Jalan Kia Peng di sini, sebagai pusat operasi dengan sewa RM7,000 sebulan.

Kewujudan kegiatan itu berjaya dihidu Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, serbuan pada jam 6.30 petang itu berjaya menahan tiga warganegara asing berusia 30 hingga 60 tahun.

"Hasil serbuan, polis berjaya merampas pelbagai kelengkapan yang digunakan untuk menjalankan kegiatan perjudian dalam talian.

"Polis percaya sindiket menjadikan premis berkenaan sebagai pusat perjudian dan beroperasi di kondominium mewah bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

"Sindiket juga menawarkan jumlah minimum pertaruhan adalah sebanyak RM100,000. Siasatan lanjut masih dijalankan, namun salah seorang daripada suspek yang ditahan mempunyai hubungan dengan sindiket perjudian di luar negara," katanya dalam sidang media hari ini.

Menurutnya, dua daripada suspek menggunakan pas lawatan sosial manakala seorang lagi suspek menggunakan visa untuk mendapatkan rawatan kesihatan di negara ini.

"Dua suspek disambung direman sehingga 9 Ogos ini manakala rakan mereka sudah dibebaskan semalam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(c) Akta Judi Rumah Terbuka 1953," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2023 @ 4:40 PM