Mahaizura Abd Malik


Gombak: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, Datuk Seri Amirudin Shari ditentang dua calon masing-masing Perikatan Nasional (PN) dan Bebas dalam pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, 12 Ogos ini.

Pegawai Pengurus PRN DUN Sungai Tua, Nor Azlina Abdul Aziz mengisytiharkan keputusan penamaan tiga calon yang sah bertanding di kerusi berkenaan pada 10.50 pagi mengikut masa kehadiran mereka di Pusat Penamaan Calon (PPC) DUN Sungai Tua, pagi tadi.

Katanya, pihaknya menerima kertas penamaan calon Bebas, Suman Gopal diikuti Muhammad Hanif Jamaluddin (PN) yang akan bertembung dengan Menteri Besar Selangor itu dalam PRN kali ini.

Beliau berkata, tiada kertas penamaan calon ditolak selepas pihaknya berpuas hati dengan dokumen yang dikemukakan semua pihak.

Muhammad Hanif adalah Setiausaha Dewan Pemuda Pas Malaysia manakala Suman pula pernah bertembung dengan Amirudin dengan seorang calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) bagi DUN Batu Caves.

Pada PRU-14, Amirudin yang juga Naib Presiden PKR itu menang dengan majoriti 11,374 di DUN Sungai Tua selepas menewaskan tiga calon lain dari BN, Pas dan Bebas yang berentap dalam pertandingan empat penjuru di dUN berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 1:01 PM
Calon PN Muhammad Hanif (kiri) , calon PH Amirudin (tengah) dan calon Bebas, Suman Gopal selepas diumumkan sebagai calon sempena Hari Penamaan Calon PRN, Selangor di Dewan SMK Sungai Pusu, Gombak. FOTO ASWADI ALIAS
Calon PN Muhammad Hanif (kiri) , calon PH Amirudin (tengah) dan calon Bebas, Suman Gopal selepas diumumkan sebagai calon sempena Hari Penamaan Calon PRN, Selangor di Dewan SMK Sungai Pusu, Gombak. FOTO ASWADI ALIAS