Juwairiya Zulkifli
Juwairiya Zulkifli
Wartawan HM


Kuala Lumpur: Biarpun berdepan 'bos lama' dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Dewan Undangan Negeri Hulu Klang, Juwairiya Zulkifli tetap bersedia untuk memberikan khidmat yang terbaik kepada pengundi di kawasan itu.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor itu berkata, pemilihan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di kerusi berkenaan sudah dijangka sebelum ini dan itu tidak menjadi isu besar, sebaliknya gerak kerja akan ditumpukan sebaiknya bagi memenangi hati pengundi.

Katanya, dia tetap menghormati Azmin sebagai seorang pemimpin, apatah lagi pernah bekerja dengan bekas Menteri Besar itu pada 2010.

"Bila parti beri kepercayaan untuk saya bertanding di Hulu Klang, saya terima itu sebagai satu kepercayaan. Ini satu cabaran sebagai orang politik yang perlu bersedia untuk diletakkan di mana saja.

"Memanglah kalau boleh saya selesa kekal di Bukit Melawati, kawasan saya, tetapi parti sudah buat keputusan, saya terima ini sebagai satu cabaran.

"Saya harapkan satu pertandingan yang bersih di Hulu Klang, yang penting agenda pengundi dan rakyat diberi keutamaan," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, dia akan memberi tumpuan kepada usaha-usaha pembangunan serta ekonomi di kawasan berkenaan dan berharap diberi peluang pada 12 Ogos nanti.

Terdahulu, Perikatan Nasional (PN) mengumumkan Mohamed Azmin sebagai calon di kerusi berkenaan.

Bekas Adun Bukit Antarabangsa itu berkata, Hulu Klang memang sudah menjadi kawasannya dan bersedia untuk memberi saingan kepada pencabarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 3:37 PM