GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Zanariah Abd Mutalib


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada Khamis, membincangkan tarikh penting Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Simpang Jeram di Johor.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pihaknya sudah menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berhubung kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen Pulai dan daripada Speaker Dun Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi untuk Dun Simpang Jeram, hari ini.

Kekosongan itu susulan pemergian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, kelmarin.

"Selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan dan Fasal (5) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Negeri Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 memperuntukkan yang kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Pulai dan Dun Simpang Jeram perlu diisi dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kekosongan kerusi berkenaan.

"Justeru, SPR akan mengadakan satu mesyuarat khas pada 3 Ogos 2023 (Khamis), yang akan dipengerusikan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh.

"Mesyuarat itu akan membincangkan tarikh penting PRK Parlimen Pulai dan PRK DUN Simpang Jeram, seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Allahyarham Salahuddin, 61, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada 9.23 malam Ahad selepas ditidurkan susulan pembedahan akibat pendarahan otak.

Jenazah selamat dikebumikan pada 12.05 tengah hari, semalam di Tanah Perkuburan Jalan Sulong, dekat Pontian, Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2023 @ 6:33 PM