Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kementerian Kesihatan mengenal pasti sebanyak 112 daripada 228 fasiliti kesihatan yang diklasifikasikan sebagai daif di Terengganu untuk dinaik taraf secara berperingkat.

Menteri Dr Zaliha Mustafa berkata, ia membabitkan klinik kesihatan, klinik desa dan klinik pergigian dengan 58 daripadanya dinaik taraf dan dibaik pulih, tahun ini membabitkan peruntukan RM8.9 juta.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 21 projek sudah pun siap sepenuhnya, 36 buah dalam pelaksanaan, manakala satu lagi projek dalam proses perolehan dan akan dimulakan dalam masa terdekat.

"Pembaikan yang selebihnya iaitu 54 lagi kita akan pertimbangkan insya-Allah untuk kita lakukan baik pulih pada tahun depan dan 2025," katanya.

Beliau berkata demikian ketika lawatan kerjanya ke klinik daif Kuala Terengganu di Klinik Desa Pulau Bahagia, Manir di sini, hari ini.

Dr Zaliha berkata, pihaknya turut meluluskan peruntukan segera sebanyak RM350,000 untuk pendawaian dan pembelian peralatan perubatan di seluruh Terengganu.

Katanya, daripadanya jumlah itu, sebanyak RM200,000 diluluskan bagi melaksanakan kerja pendawaian semula dan menaik taraf sistem elektrik di empat klinik iaitu di Klinik Kesihatan (KK) Seberang Takir, KK Bukit Tunggal, Klinik Desa Pengadang Baru dan Klinik Desa Medan Jaya.

"Sebanyak RM150,000 lagi diluluskan untuk pembelian peralatan perubatan untuk kegunaan klinik di seluruh Terengganu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 12:49 PM
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa (tiga kanan) beramah mesra bersama jururawat  semasa mengadakan lawatan kerja ke Klinik Daif Kuala Terengganu di Klinik Desa Pulau Bahagia, Manir. Turut bersama, Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong (dua kanan). FOTO GHAZALI KORI
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa (tiga kanan) beramah mesra bersama jururawat semasa mengadakan lawatan kerja ke Klinik Daif Kuala Terengganu di Klinik Desa Pulau Bahagia, Manir. Turut bersama, Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong (dua kanan). FOTO GHAZALI KORI