Siti Bainun Ahd Razali ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. FOTO Arkib NSTP
Siti Bainun Ahd Razali ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. FOTO Arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan 12 Oktober depan bagi pendengaran rayuan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali untuk mengetepikan hukuman penjara 12 tahun kerana mengabai dan menganiaya remaja Sindrom Down dikenali Bella.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas selaku responden selepas pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Nur Azizah Jaafar.

Dalam prosiding hari ini, peguam Fatin Syaza Irdina Muhamad Eddin Syazri mewakili Siti Bainun selaku perayu.

"Petisyen rayuan masih belum diterima, tarikh pengurusan kes ditetapkan pada 14 September manakala bicara rayuan pada 12 Oktober," kata Zilfinaz kepda media.

Pada 3 Mei lalu, Siti Bainun dijatuhi hukuman penjara 12 tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Hakim Izralizam Sanusi memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan Siti Bainun, 31, gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan dua pertuduhan itu.

Pada masa sama mahkamah turut menolak permohonan Siti Bainun untuk menangguhkan hukuman penjara 12 tahun yang dijatuhkan ke atasnya sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Berikutan itu, Siti Bainun menjalani hukuman penjara serta-merta di Penjara Kajang bermula tarikh disabitkan dengan kesalahan.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari hingga Jun 2021.

Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pertama Siti Bainun dipenjara selama 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh dipenjara selama 12 tahun dan hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan..

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan cagaran sebanyak RM5,000 sebagai tambahan hukuman.

Sejurus selepas dijatuhi hukuman Siti Bainun kemudian membuat rayuan sebanyak dua kali bagi penangguhan hukuman namun gagal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 3:54 PM