GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhamad Lokman Khairi

Manjung: Seramai 35 pendatang asing tanpa izin (Pati) warganegara Indonesia ditahan ketika bersembunyi di ladang kelapa sawit di Segari dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, terdahulu, pergerakan kumpulan itu dikesan hasil maklumat orang awam yang melihat sebuah bot terdampar di pesisir pantai di Segari.

Bot terbabit dikatakan dinaiki warganegara asing.

Menurutnya, hasil pencarian di kawasan dilaporkan, pihaknya berjaya mengesan dan menahan kumpulan itu.

Katanya, mereka membabitkan 24 lelaki dewasa, 10 wanita dan seorang kanak-kanak lelaki. Kesemuanya bersembunyi di kebun sawit berdekatan pantai berkenan.

"Hasil siasatan awal, kami kemudiannya menahan dua lelaki tempatan yang disyaki dalang dalam kegiatan penyeludupan itu di sebuah restoran makanan laut di sekitar Kampung Bharu, Manjung. Mereka kemudiannya direman bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959," katanya pada kenyataan hari ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Sollehuddin Rahmat di talian 013-7908995.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 12:50 PM